Khamis, 21 Disember 2017 | 2:02pm

Inisiatif BNM berjaya stabilkan ringgit

KUALA LUMPUR: Inisiatif Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menstabilkan ringgit terus membuahkan hasil dengan mata wang tempatan itu mengukuh 10.1 peratus pada tahun ini.

Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) Bank Negara Malaysia dalam kenyataannya berkata, penetapan tukaran asing khususnya ringgit dalam pasaran tempatan ketika ini dipacu aktiviti sektor benar dan bukannya transaksi spekulatif.

Malah, mata wang tempatan itu juga diniagakan antara RM4.05 hingga RM4.09 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada bulan ini.

Kadar tukaran kekal stabil dengan ketidaktentuan AS$/RM sebulan pada paras purata 4.5 peratus.

"Kecairan mencatatkan kemajuan dalam pasaran domestik dan mampu memenuhi keperluan melindung nilai residen dan bukan residen.

"Pasaran tukaran asing dalam negara pada 2017 kekal pada purata jumlah harian AS$9.9 bilion berbanding AS$8.1 bilion pada 2016," kata FMC dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini.

FMC berkata, jumlah pasaran tukaran asing domestik kini merangkumi aliran dagangan sektor benar yang mewakili lebih 50 peratus daripada jumlah keseluruhan dagangan.

Pada masa sama, ia berkata, penguasaan aliran portfolio asing berkurangan kepada kurang daripada satu perempat.

"Ketika ini, harga di pasaran tempatan dipacu aktiviti sektor benar dan bukannya transaksi spekulatif," katanya.

FMC berkata, terdapat tanda peningkatan memberangsangkan dalam keseimbangan permintaan dan bekalan mata wang asing menyebabkan pasaran pertukaran asing lebih cekap.

Sejak Disember 2016, hasil eksport bersih yang ditukarkan kepada ringgit bertambah AS$8.8 bilion berbanding penurunan AS$500 juta, di antara Januari hingga November 2016.

Pasaran bon Malaysia terus menarik minat pelabur dengan tiga lelongan utama bon kerajaan, dengan penyertaan dari pelbagai jenis pelabur.

Penyertaan bukan pemastautin dalam pasaran bon meningkat kepada RM6.2 bilion pada suku keempat 2017, yang mewakili 27.4 peratus daripada jumlah baki bon kerajaan pada 20 Disember 2017.

Bagi tahun ini, purata nisbah bidaan kepada perlindungan berada di paras lebih dua kali ganda.

Jumlah dagangan purata harian dalam pasaran bon sekunder mencatatkan paras RM3.5 bilion pada 2017.

Pada November 2017, jumlah jualan singkat Sekuriti Kerajaan Malaysia (SKM) meningkat kepada RM1.6 bilion.

Di bawah rangka kerja lindung nilai dinamik, 73 pengurus dana didaftarkan dengan BNM, mewakili RM126.2 bilion aset yang layak di bawah pengurusan AUM.

Daripada jumlah itu, 57 pengurus dana adalah bukan pemastautin.

Sejak perluasan program lindung nilai dinamik kepada entiti korporat, 21 syarikat, termasuk entiti asing sudah berdaftar dengan BNM.

BNM dan FMC akan terus menjalin hubungan dengan peserta pasaran dan kekal fokus dalam mewujudkan persekitaran pasaran kewangan yang kondusif dan teratur untuk memudahkan perniagaan bagi manfaat ekonomi.

Berita Harian X