Rabu, 10 Januari 2018 | 6:56pm
JEBASINGAM Issace John. - Foto Abdullah Yusof

ECER tarik pelaburan RM111.6b

KUALA LUMPUR: Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) menarik pelaburan swasta berjumlah RM111.6 bilion dalam tempoh 10 tahun penubuhannya, sekali gus tiga tahun lebih awal mengatasi sasaran pelaburan RM110 bilion menjelang 2020.

Prestasi memberangsangkan itu menyaksikan asas ECER yang kukuh, bagi membolehkan rakyat menerima manfaat daripada transformasi sosio-ekonomi berterusan di wilayah itu melalui pelaksanaan beberapa projek dan program berimpak tinggi sejak sedekad lalu.

Hingga kini, transformasi ECER sudah membawa impak positif kepada lebih 950,000 rakyat atau 11 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk wilayah berkenaan, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Ini termasuk ribuan rakyat di kawasan bandar dan luar bandar, yang kini menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik melalui lebih 154,500 peluang pekerjaan dan 27,000 peluang keusahawanan yang wujud, hasil daripada kemasukan pelaburan swasta dan program pembangunan modal insan di ECER.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Seri Jebasingam Issace John, berkata prestasi cemerlang ECER dalam transformasi sosio-ekonomi adalah bukti kukuh terhadap penyampaian projek infra rakyat berimpak tinggi dan projek pelaburan swasta oleh kerajaan persekutuan.

Katanya, ia juga hasil program pembangunan modal insan yang inklusif dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri terbabit.

"Usaha ini sudah merapatkan jurang sosio ekonomi antara pantai timur dan pantai barat Semenanjung Malaysia serta meningkatkan taraf hidup rakyat melalui peningkatan peluang pekerjaan dan keusahawanan," katanya dalam satu kenyataan.

Daripada jumlah keseluruhan pelaburan swasta di ECER, pelaburan langsung domestik (DDI) muncul sebagai penyumbang utama terhadap pertumbuhan ekonomi dan sumber penting dalam mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat.

Pelaburan tempatan, yang kebanyakannya didorong oleh usahawan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyumbang sebanyak 46 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan di ECER, sekali gus mengukuhkan peranan mereka sebagai nadi utama pertumbuhan sosio-ekonomi di wilayah ini.

Pelaburan syarikat Bumiputera di bawah program [email protected] juga memberi sumbangan ketara iaitu sebanyak 14 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan swasta di ECER.

Pelaburan berkenaan membabitkan 177 projek bernilai RM16.2 bilion di ECER yang mendapat manfaat daripada insentif cukai ECERDC atau melalui Dana Mudahcara [email protected], atau kedua-duanya.

Daripada pelaburan terbabit, lebih 19,100 peluang pekerjaan berjaya diwujudkan untuk rakyat.

Jebasingam berkata, peningkatan dalam pelaburan langsung domestik jelas menunjukkan persekitaran perniagaan yang kondusif dan inklusif di ECER, yang menjadi pemangkin terhadap usahawan tempatan.

"Kini, usahawan tempatan menerajui transformasi sosioekonomi dalam kelompok komuniti masing-masing dengan mewujudkan ekosistem untuk pekerjaan dan perniagaan, yang seterusnya membantu meningkatkan taraf hidup rakyat," katanya.

Berita Harian X