Rabu, 10 Januari 2018 | 7:51pm
RINGGIT melantun dan ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat hari ini. - Foto hiasan

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit melantun dan ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat hari ini, didorong oleh peningkatan harga minyak mentah yang mencecah paras tertinggi dalam tempoh tiga tahun.

Pada 6 petang, unit tempatan ditutup pada 4.0020/0070 berbanding dolar daripada 4.0090/0120 pada Selasa.

Seorang peniaga berkata, harga minyak mentah yang tinggi menyokong ringgit, memandangkan Malaysia yang juga adalah pengeksport bersih minyak dan gas, bergantung besar kepada pergerakan harga komoditi ini.

"Menurut Reuters, gred minyak mentah Asia sudah pun melepasi purata AS$70 setong, manakala penanda aras harga minyak mentah Brent mencecah AS$69.15 setong hari ini, paras tertinggi sejak Mei 2015.

"Ini meningkatkan sentimen ke atas ringgit," katanya.

Berbanding sekumpulan mata wang utama, unit tempatan didagangkan kebanyakannya tinggi, kecuali yen.

Ringgit tinggi berbanding dolar Singapura kepada 2.9975/9024 daripada 3.0023/0052 pada penutupan Selasa, mengukuh berbanding euro kepada 4.7776/7844 daripada 4.7863/7903 semalam dan meningkat berbanding pound kepada 5.4019/4090 daripada 5.4238/4294 semalam.

Berbanding yen, unit tempatan itu susut kepada 3.5806/5857 daripada 3.5512/5548 pada Selasa. - BERNAMA

977 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »