Rabu, 24 Januari 2018 | 2:09pm

Bursa Malaysia rendah tengah hari

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah pada akhir dagangan pagi hari ini, susulan aktiviti pengambilan untung di kaunter wajaran tinggi terpilih.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.91 mata kepada 1,837.13 berbanding 1,838.04 pada penutupan Selasa selepas dibuka 0.08 mata lebih tinggi kepada 1,838.12.

Kedudukan pasaran negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 518 berbanding 379, manakala 388 kaunter tidak berubah, 576 tidak diniagakan dan 33 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.80 bilion saham bernilai RM1.10 bilion.

Peniaga berkata, pelabur mengambil untung susulan keuntungan di bursa saham sejak kebelakangan ini.

"Ini selari bursa lain seperti Indeks Komposit Jakarta yang susut 22.84 mata kepada 6,616.5 dan Hang Seng Hong Kong yang merosot 92.90 mata kepada 32,837.80.

"Namun berdasarkan angka dagangan yang positif seperti dikeluarkan kerajaan, yang membantu mengukuhkan ringgit, kami menjangkakan kemasukan dana untuk menyokong Bursa Malaysia," katanya.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank masing-masing meningkat dua sen kepada RM9.91 dan RM20.98, manakala Tenaga dan Petronas Chemicals masing-masing susut dua sen kepada RM15.84 dan RM8.01.

Bagi kaunter aktif, Sumatec menokok setengah sen kepada 11 sen, Sino Hua-An menambah 2.5 sen kepada 63 sen, UMW Oil & Gas masing-masing tidak berubah pada 34.5 sen manakala apura Energy turun 1.5 sen kepada 80 sen. - BERNAMA

Berita Harian X