Khamis, 15 March 2018 | 7:22pm

Ringgit ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, berikutan permintaan lemah walaupun data ekonomi yang positif, kata peniaga.

Pada jam 6 petang, ringgit disebut harga pada 3.9160/9200 berbanding dolar AS daripada 3,9040/9080 semalam.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjangkakan ringgit diunjur meningkat kepada 3.80 berbanding dolar AS dalam jangka masa terdekat, berikutan petunjuk positif seperti prestasi ekonomi yang kukuh serta nilai eksport negara melebihi RM80 bilion untuk suku pertama tahun ini.

"Dari segi nilai mata wang, ringgit adalah antara mata wang yang mencatatkan prestasi terbaik selepas merosot kepada 4.49 beberapa bulan lalu. Namun ia akan melonjak kepada 3.80 dalam masa terdekat," katanya semasa berucap pada bajet Perdana Menteri 2018 bersama program Rakyat-Pegawai Awam, hari ini.

Sementara itu, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menerusi Laporan Tahunan 2017, berkata ringgit dijangka kukuh pada 2018.

Peniaga berkata, isu domestik di Amerika Syarikat (AS), termasuk pemecatan Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson dan data inflasi negara itu serta kebimbangan terhadap perang dagangan membendung minat terhadap dolar AS.

"Bagaimanapun, ia gagal untuk meningkatkan selera risiko kepada ringgit, seperti mata wang lain yang mengambil peluang terhadap situasi itu," katanya.

Berbanding mata wang utama lain, ringgit diniagakan lebih rendah.

Ia merosot berbanding dolar AS kepada 2.9893/9942 daripada 2.9786/9830 pada Rabu dan menyusut berbanding yen kepada 3.6957/7002 daripada 3.6630/6674.

Ringgit juga menyusut berbanding euro kepada 4.8398/8455 daripada 4.8273/8334 dan merosot berbanding pound British kepada 5.4585/4653 daripada 5.4453/4524 sebelumnya.

-BERNAMA

324 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »