Isnin, 19 March 2018 | 3:50pm
DATUK Seri Johari Abdul Ghani. - Foto Aizuddin Saad

PARLIMEN: Cukai bisnes dalam talian dikaji

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan dalam proses menyiapkan kajian berhubung mekanisme dan model percukaian bersesuaian untuk perniagaan dalam talian.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata kajian itu termasuk penilaian terhadap keperluan percukaian itu dilaksanakan dan impaknya serta model percukaian yang sesuai jika mahu dilaksanakan.

"Dalam masa yang sama kementerian juga sedang menilai dan memantau pelaksanaan cukai yang dilaksanakan Organisasi Bagi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) bagi ekonomi digital dan hasil berkaitannya, " katanya menggulung perbahasan Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam perbahasan minggu lalu, Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching membangkitkan isu cukai bagi pengguna Google dan Facebook akan membebankan pengguna.

Sebelum ini ada cadangan meminta kerajaan mengenakan cukai terhadap syarikat teknologi gergasi dan media seperti Google dan Facebook (FB) yang mana kedua-duanya mengawal hampir 70 peratus daripada perbelanjaan iklan digital di negara ini.

Cadangan itu mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu membawanya ke Kabinet.

Johari menjelaskan pada masa ini Malaysia tidak mempunyai sistem percukaian untuk iklan seperti yang dilakukan oleh Google dan FB.

Katanya, sistem percukaian di negara ini menjelaskan cukai boleh dikutip pada syarikat yang bermastautin di negara ini.

"Bagi syarikat yang bermastautin mudah untuk dikenakan cukai. Dalam kes Google dan FB ini mereka tidak bermastautin di sini walaupun kini sudah ada syarikat di sini.

"Jika anak syarikat Google dan FB itu mengisytiharkan hasil kita boleh kenakan cukai, tiada masalah ia boleh dilakukan. Namun, dalam dunia digital sukar menentukan hasil diperoleh kerana ia berpangkalan di luar negara.

Beliau berkata, negara seperti Indonesia dan Australia membuat pendekatan sendiri mengutip cukai dengan cara mereka sendiri tetapi Malaysia mengambil pendekatan kaedah digunakan OECD.

"Ada beberapa cara boleh dilakukan untuk mengutip cukai ini termasuk mendesak syarikat berkenaan mendaftar dan jika enggan tidak dibenarkan beroperasi.

"Kita negara terbuka, ...cara ini mungkin tidak akan dilaksanakan kerana kesannya kepada pengguna. Kita boleh meminda akta namun mengambil masa dan buat masa ini kita mahu selaras dengan undang-undang antarabangsa mengenainya.

Sementara itu, mengulas mengenai kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), katanya sebanyak RM41 bilion dikutip pada 2016 yang mana sebanyak RM20 bilion dibayar untuk tuntutan semula manakala pada 2017, kerajaan mengutip RM44 bilion dengan RM22 bilion bayaran balik GST.

Berita Harian X