Selasa, 27 March 2018 | 2:51pm

Eksport getah negara melonjak

KUALA LUMPUR: Eksport getah Malaysia ke China meningkat 80 peratus kepada RM6.6 bilion atau 875,000 tan pada tahun lalu.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong, berkata ia turut menyaksikan pegangan eksport getah asli Malaysia ke China meningkat daripada 66 peratus kepada 73 peratus.

Katanya, kejayaan itu hasil usaha promosi di beberapa pasaran strategik, termasuk Iran yang ketika ini menjadi destinasi eksport getah Malaysia ketiga terbesar, dengan nilai RM250 juta pada 2017.

"Pasaran Jepun turut merekodkan kejayaan sama, justeru Malaysia yang menjadi pengeluar getah kelima terbesar di dunia selepas Indonesia, Thailand, Vietnam, India dan China, akan terus meningkatkan kadar pasaran.

"Berdasarkan perangkaan, keluasan tanaman getah negara ketika ini seluas satu juta hektar, iaitu 90 peratus daripada sasaran dengan jumlah eksport RM32 bilion," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Dr Mansor Abdul Rahman (BN-Sik) ketika Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini, mengenai usaha kerajaan meningkatkan eksport getah ke luar negara dan pencapaian Dasar Komoditi Negara yang digubal pada 2011.

Menjawab soalan tambahan Datuk Mahfuz Omar (PAN-Pokok Sena) berhubung status pemotongan eksport getah asli membabitkan tiga negara seiring usaha menangani lambakan permintaan komoditi itu di pasaran, Siew Keong menjelaskan, ia masih berlangsung untuk tempoh tiga bulan.

Berbanding mekanisme sama pada 2016, katanya, Skim Jumlah Eksport Yang Dipersetujui Kelima (AETS-5) bersama Thailand dan Indonesia, berkuat kuasa 1 Januari lalu hingga 31 Mac ini mempunyai langkah kawalan tertentu.

"Ketika mekanisme seperti ini (mengehadkan kadar eksport) dilaksanakan kali terakhir pada 2016, hanya Malaysia yang ikut kuota ditetapkan.

"Malangnya, negara penjual lain tidak ikut kuota dan eksport melebihi kadar yang ditentukan, sekali gus menyumbang pada lambakan penawaran komoditi ini di pasaran.

"Susulan itu, satu jawatankuasa pemantauan ditubuhkan ketika AETS-5 bagi memastikan setiap negara mengikut had eksport getah yang ditetapkan," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X