Rabu, 28 March 2018 | 4:06pm
KETUA Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd, Datuk Seri Tajuddin Atan. - Foto Nurul Shafina Jemenon
KETUA Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd, Datuk Seri Tajuddin Atan. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Bursa Malaysia tunggu impak sebenar perdagangan AS-China

KUALA LUMPUR: Masih terlalu awal untuk melihat impak sebenar pertelingkahan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang dikatakan akan menjurus kepada tercetusnya perang perdagangan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd, Datuk Seri Tajuddin Atan.

Beliau berkata, pihaknya melihat arah tuju Bursa Malaysia dalam tempoh terdekat ini akan lebih dipengaruhi faktor Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) berbanding perang perdagangan AS - China itu.

Beliau berkata, ekonomi Malaysia hari ini sudah matang dan tidak lagi bergantung hidup kepada mana-mana kuasa perdagangan tunggal.

"Selepas mengambil kira demografi dan jumlah dagangan ekonomi Malaysia yang bergerak dari AS ke pasaran serantau, saya akan tunggu dan lihat impaknya buat masa ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Bursa Malaysia di sini hari ini.

Di Malaysia, faktor PRU kebiasaannya akan mempengaruhi pergerakan harga saham di bursa tempatan kerana ramai pemain-pemain utama akan memasuki pasaran bagi tujuan melonjakkan indeks.

MIDF Research dalam satu nota penyelidikan sebelum ini berkata, aliran masuk dana asing dijangka akan berterusan pada 2018, terutamanya selepas PRU-14.

Ahli ekonomi di United Overseas Bank (Malaysia) Bhd, Julia Goh, berpandangan ekonomi Asia yang dipacu eksport, seperti Malaysia, akan terkesan daripada impak sebenar jika tercetusnya perang perdagagan AS-China.

Dalam perkembangan lain, Tajuddin berkata, Bursa Malaysia akan melancarkan rangka kerja jualan pendek harian atau 'intra-day short-selling' (IDSS) kepada semua pelabur pada suku kedua tahun ini.

Beliau berkata, Malaysia juga sedang bekerjasama dengan Singapura bagi mewujudkan koridor pasaran untuk menghubungkan pasaran saham antara kedua-dua negara.

Berita Harian X