Selasa, 17 April 2018 | 7:18pm
- Gambar hiasan

Bursa Malaysia ditutup tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini, disokong oleh minat belian terhadap saham wajaran tinggi terpilih, terutama saham berkaitan Petronas.

Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup pada 1,880.49, meningkat 1.73 mata berbanding penutup Isnin pada 1,878.76.

Indeks utama, di sebalik pembukaan yang lemah dan dagangan berhati-hati, meningkat sehingga 1,885.12 pada sesi pagi.

PetGas meningkat 54 sen kepada RM18.54, PetDag naik 70 sen kepada RM26.78 manakala PChem menambah enam sen kepada RM8.51.

Ketua Penyelidik Inter-Pacific Securities Sdn Bhd, Pong Teng Siew, berkata pasaran berhati-hati berikutan pengenalan oleh Bursa Malaysia jualan singkat harian (IDSS) semalam sebagai sebahagian strategi bursa untuk meningkat kecairan pasaran.

"Selain itu, kami juga menyaksikan pengambilan untung di pasaran yang lebih besar, termasuk penjualan saham bermodal kecil kerana ia sangat terbabit dengan IDSS, justeru lebih banyak yang susut dari meningkat," katanya kepada Bernama.

Pong berkata, secara keseluruhan, sentimen pasaran bercampur-campur kerana peniaga bimbang terhadap perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China.

"Dagangan antara blok berkenaan semakin buruk dengan pembuat peralatan telekomunikasi China melarang penggunaan komponen yang diperbuat di AS," katanya.

Sebanyak 506 kaunter rugi dengan 424 untung, dengan 394 tidak berubah manakala 581 tidak diniagakan dan 27 digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.09 bilion unit bernilai RM2.79 bilion berbanding 2.68 bilion bernilai RM2.06 bilion semalam.

Antara saham berwajaran tinggi, Maybank menambah dua sen kepada RM10.62 manakala CIMB meningkat enam six kepada to RM7.30.

Public Bank susut enam sen kepada RM23.98. Tenaga tidak berubah pada RM15.94.

Antara kaunter aktif, SapNRG menambah setengah sen kepada 77 sen dengan 339.15 juta saham didagangkan, PUC meningkat 1.5 sen kepada 27 sen manakala UMWOG susut 1.5 sen kepada 30 sen.

Indeks FBM Emas susut 25.12 mata kepada 13,157.76 manakala indeks FBMT 100 susut 22.81 mata kepada 12,955.54.

Indeks FBM Emas Shariah susut 39.20 mata kepada 13,359.95, FBM 70 susut 146.37 mata kepada 15,693.39 manakala FBM Ace susut 39.32 mata kepada 5,534.69.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan menambah 32.11 mata kepada 18,349.23 sementara Indeks Perusahaan meningkat 12.68 mata kepada 3,241.11.

Indeks Perladangan susut 22.62 mata kepada 8,039.96.

Jumlah dagangan Pasaran Utama melonjak kepada 1.94 bilion saham bernilai RM2.58 bilion berbanding 1.65 bilion saham bernilai RM1.88 bilion semalam.

Jumlah waran susut kepada 550.53 juta unit bernilai RM99.51 juta berbanding 561.17 juta unit bernilai RM96.55 juta pada Isnin.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 591.87 juta saham bernilai RM105.27 juta berbanding 460.37 juta saham bernilai RM86.34 juta sebelumnya.

Barangan pengguna menyumbang 52.24 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, barangan perindustrian (511.33 juta), pembinaan (65.39 juta), perdagangan dan perkhidmatan (1.01 bilion), teknologi (78.61 juta), infrastruktur (30.97 juta), SPAC (19.42 juta), kewangan (61.55 juta), hotel (7.26 juta), hartanah (61.40 juta), perladangan (26.93 juta), perlombongan (27,000), REIT (11.37 juta ) dan dana tertutup (226,300) - BERNAMA

168 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »