Khamis, 26 April 2018 | 6:39pm

Pasaran global kekal tegang

LONDON: Pasaran global kekal tegang pada Khamis, di tengah-tengah kebimbangan mengenai prospek ekonomi global dan dengan hasil bon Amerika Syarikat (AS) pada paras empat tahun tinggi.

Pelabur menunggu petunjuk Bank Pusat Eropah bilakah ia akan menamatkan program pembelian aset bernilai 2.55 trillion euro.

Ekuiti menikmati keuntungan yang kukuh di Korea Selatan, di mana konglomerat elektronik, Samsung merekodkan keuntungan suku tahunan, sementara Nikkei Jepun menambah 0.5 peratus.

Pada Rabu, penanda aras Dow Jones berjaya mengatasi kerugian lima hari disokong oleh pendapatan korporat yang lebih tinggi.

Walaupun indeks teknologi Nasdaq jatuh semula, ia mungkin mendapat manfaat daripada pasaran yang kukuh menerusi Facebook yang mencatatkan hasil melangkaui jangkaan.

Niaga hadapan ekuiti kukuh untuk Nasdaq dibuka 0.4 peratus lebih tinggi manakala dua lagi indeks mencatatkan sedikit peningkatan.

Bagaimanapun, momentum itu tidak berlaku di Eropah apabila rata-rata saham mencecah paras terendah dalam tempoh seminggu, termasyj penurunan keuntungan sebanyak 79 peratus di Deutsche Bank.

Pelabur tetap berhati-hati terutamanya di AS, yang mencatatkan keputusan suku pertama yang kurang memberangsangkan.

Peningkatan 11 peratus minyak mentah global tahun ini di tambah 18 peratus tahun lalu, menambah kebimbangan inflasi.

"Kebimbangan nampaknya semakin memuncak, membawa kepada kenaikan inflasi, kadar faedah lebih tinggi," kata ketua pegawai pelaburan di London & Capital, Pau Morilla-Giner.

Hasil Perbendaharaan 10 tahun, kadar rujukan bagi pinjaman global, meneruskan lonjakan hasilnya. Ia meningkat 25 mata asas sejak awal April. - Reuters

Berita Harian X