Rabu, 30 Mei 2018 | 2:36pm

Untung suku pertama BIMB Holdings RM172.14 juta

KUALA LUMPUR: Untung bersih BIMB Holdings Bhd (BHB) pada suku kewangan pertama berakhir 31 Mac 2018 menokok 13.9 peratus kepada RM172.14 juta daripada RM151.10 juta suku sama tahun sebelumnya.

Pendapatan pada suku dikaji meningkat kepada RM999.36 juta daripada RM919.64 juta.

Dalam kenyataan di Bursa Malaysia, BHB berkata segmen perbankannya, Kumpulan Bank Islam mencatat keuntungan sebelum zakat dan cukai (PBZT) berjumlah RM207.2 juta, mewakili peningkatan 7.9 peratus atau RM15.1 juta berbanding tempoh sama 2017.

Pertumbuhan keuntungan Bank Islam disumbang terutamanya kepada peningkatan dalam kadar asas dan kadar pembiayaan asas sebanyak 25 mata asas berkuat kuasa Februari 2018, susulan peningkatan 25 mata asas dalam kadar dasar semalaman pada 25 Januari lalu.

Peningkatan itu juga disumbang pertumbuhan tahun-ke-tahun dalam aset pembiayaan bersih RM2.6 bilion atau 6.6 peratus, mencecah RM42.4 bilion setakat 31 Mac tahun ini.

Setakat Mac 2018, deposit pelanggan dan akaun pelaburan masing-masing berada pada RM46.9 bilion adn RM4.9 bilion dengan peningkatan masing-masing sebanyak RM3.3 bilion dan RM0.9 bilion, katanya.

Berita Harian X