Khamis, 9 Ogos 2018 | 5:55pm
PROF Datuk Dr Chin Yew Sin. - Foto Nurul Syazana Razman

Penguatkuasaan terlalu tegas bantutkan pasaran modal

SERDANG: Penguatkuasaan yang terlalu tegas oleh pengawal selia pasaran modal menjadi antara punca pertumbuhan pasaran modal negara terbantut, demikian mengikut Penganalisis Ekonomi Bebas, Prof Datuk Dr Chin Yew Sin.

SC dan Bursa Malaysia, katanya, ketika ini dilihat terlalu tegas dalam melaksanakan tindakan penguatkuasaan terutama terhadap syarikat yang baru disenaraikan di bursa saham tempatan berbanding negara jiran yang lain.

“Perlu diakui SC memainkan peranan penting dalam memastikan keadilan, ketelusan dan operasi yang lancar tetapi kebanyakan pelabur merasakan pasaran saham Malaysia tidak beroperasi secara bebas.

“Ia juga mengakibatkan berlaku pengurangan tawaran awam permulaan (IPO) di Malaysia iaitu hanya sebanyak 14 IPO pada 2017 berbanding 42 di Bursa Saham Thailand (SET), 36 IPO di Bursa Saham Indonesia (IDX) dan 14 IPO di Bursa Singapura (SGX),” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut Yew Sin berkata, pasaran saham Malaysia juga menunjukkan prestasi yang tidak memberangsangkan berbanding jirannya iaitu Singapura, Indonesia dan Thailand dalam tempoh empat tahun ini.

Ia boleh dilihat dari segi perbandingan indeks bursa saham untuk keempat-empat negara dari tahun 2013 hingga 2017, di mana Malaysia mencatat penyusutan 3.75 peratus dari 1,866.96 mata pada 2013 kepada 1,796.81 mata pada 2017.

Dibandingkan Singapura yang mengalami kenaikan sebanyak 7.43 peratus iaitu dari 3,167.42 mata (2013) kepada 3,402.92 mata (2017).

Begitu juga Thailand dan Indonesia yang indeks bursa masing-masing mencatat peningkatan sebanyak 28.5 peratus dan 48.73 peratus dari tahun 2013 hingga 2017.

“Dari segi perbandingan nilai permodalan pasaran pula, pertumbuhan bursa tempatan hanya sebanyak 14.6 peratus iaitu dari AS$417 bilion ke AS$478 bilion. Nilai ini jauh lebih kecil berbanding Thailand yang naik dari AS$346 bilion ke 529 bilion (naik 52.9 peratus) manakala Indonesia dari AS$291 bilion ke AS$487 bilion (naik 67.3 peratus) dari 2013-2017,” katanya.

Berdasarkan tinjauan beliau, jumlah tindakan undang-undang meliputi denda dan teguran yang dikenakan terhadap syarikat tersenarai di Bursa Malaysia adalah lebih tinggi di Malaysia iaitu sebanyak 133 berbanding Singapura (58) dan Thailand (93) pada 2015.

Bagaimanapun, jumlah itu berkurangan pada 2017 kepada 63 di Malaysia berbanding Thailand (88) dan Singapura (59).

Sehubungan itu, Yew Sin mencadangkan supaya SC dan Bursa Malaysia tidak terlalu agresif mengenakan tindakan undang-undang sebaliknya lebih banyak memberi bimbingan kepada syarikat.

“Syarikat yang baru disenaraikan di Bursa Malaysia terutamanya mengalami perubahan drastik dari segi pengurusan dan operasi justeru memerlukan panduan yang jelas.

“Pengawal selia ini disarankan supaya memberi syarikat baru ini tempoh sekurang-kurangnya enam bulan selepas disenaraikan untuk membiasakan diri dengan segala peraturan dan undang-undang,” katanya.

Beliau menambah, jika syarikat ada melakukan kesalahan, beri amaran terlebih dulu sehingga tiga kali sebelum tindakan diambil kerana langkah dijangka dapat meningkatkan sentimen dan keyakinan pelabur kepada pasaran saham negara.

“Saya juga mengharapkan kerajaan baharu dapat membentangkan bajet yang seimbang bagi mendorong pertumbuhan syarikat dan pasaran saham tempatan,” katanya.

Berita Harian X