Rabu, 31 Oktober 2018 | 9:13pm
MENTERI Industri Utama, Teresa Kok merasmikan majlis kerjasama antara Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Majlis Perbandaran Kajang untuk melonjakkan penggunaan PME kepada campuran B20 dalam kenderaan janaan diesel di Kajang, hari ini. - Foto BERNAMA

Lebih murah guna biodiesel

KAJANG: Harga minyak sawit yang rendah kini menjadikan penggunaan biodiesel atau Palm Methyl Ester (PME) oleh lori dan bas lebih murah berbanding diesel petroleum.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata minyak sawit mentah (MS) yang kini didagangkan pada RM2,200 setab adalah bahan mentah utama yang digunakan dalam pengeluaran PME atau biodiesel.

“Sehingga hari ini, harga diesel yang dijual di stesen minyak adalah RM2.31 seliter manakala kos PME adalah RM2.28 seliter,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis kerjasama antara Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Majlis Perbandaran Kajang untuk melonjakkan penggunaan PME kepada campuran B20 dalam kenderaan janaan diesel di sini, hari ini.

Campuran B20 dibuat daripada 20 peratus PME dan 80 peratus diesel petroleum.

Semalam, semasa sesi Parlimen, Kok menjawab soalan Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hing dan berkata harga minyak mentah Brent pada masa ini adalah AS$75.69 setong dan niaga hadapan MSM adalah sekitar RM2,200 setan, menjadikannya lebih murah untuk mencampur peratusan PME yang lebih tinggi ke dalam diesel biasa.

Kok menjangkakan kerajaan boleh menjimatkan sekitar RM10.7 juta subsidi setahun jika Malaysia meningkatkan mandat biodiesel bagi industri pengangkutan, daripada B7 pada masa ini kepada B10.

B7 adalah campuran bahan api yang mengandungi tujuh peratus PME dan 93 peratus diesel biasa manakala B10 mempunyai 10 peratus bahan api boleh diperbaharui itu dalam campurannya.

“Jika kita melihat pada harga semasa, harga diesel bagi industri adalah antara RM2.60 dan RM2.80 seliter berbanding dengan kos PME pada RM2.28 seliter.

Ia bermakna, penggunaan B7 dalam sektor industri akan meraih RM6.5 juta setahun dalam penjimatan kos kepada industri, jika harga semasa petroleum dan minyak sawit dikekalkan,” katanya.

Selain itu, Kok berkata kerajaan juga boleh menjimatkan kos import diesel sekitar RM1.6 bilion setahun.

Kok menjelaskan bahawa program biodiesel kebangsaan yang diperkenalkan pada 2011 adalah kadar campuran B5 (lima peratus PME dicampur dengan 95 peratus diesel petroleum).

Mengulas mengenai peluang harga petroleum dan minyak sawit, beliau menggalakkan syarikat dalam sektor logistik, peladangan dan pengeluaran untuk menyokong usaha kerajaan dalam menaikkan penggunaan minyak sawit domestik menerusi penggunaan campuran biodiesel B10.

ends

Berita Harian X