Isnin, 12 November 2018 | 4:34pm
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng. - Foto BERNAMA
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng. - Foto BERNAMA

Guan Eng tidak setuju tindakan Moody's turun taraf Petronas

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, jelas tidak bersetuju dengan tindakan Moody’s Investors Service menurunkan penarafan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) daripada stabil kepada negatif.

Menurut Guan Eng, agensi terbabit tidak seharusnya membuat penarafan berdasarkan dividen istimewa RM30 juta bersifat ‘one-off’ (sekali gus) yang diberikan Petronas kepada kerajaan.

“Ini mungkin tidak dipersetujui Moody’s, tetapi saya secara peribadi berpandangan apabila anda membuat analisis penarafan, anda melihat kepada prestasi syarikat.

“Prestasi Petronas memang teguh. Jika anda hanya mengambil kira dividen one-off RM30 bilion yang diberi kepada kerajaan, saya fikir ia tidak mencerminkan prestasi kewangan syarikat itu,” katanya dalam wawancara bersama sebuah radio, hari ini.

Pada 8 November lalu, Moody’s mengesahkan penarafan terbitan domestik dan mata wang asing tidak bercagar kanan PETRONAS pada A1, namun mengubah tinjauan daripada stabil kepada negatif.

Naib Presiden Kanan Moody’s, Vikas Halan menjelaskan, agensi itu berpandangan profil kewangan Petronas mungkin merosot jika kerajaan terus meminta syarikat itu mengekalkan pembayaran dividen tinggi, terutama jika harga minyak turun.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebelum ini menyelar kerajaan dan menyifatkan perubahan taraf itu berlaku berlaku hasil ‘kecekapan’ kerajaan sekarang menguruskan wang negara serta langkah yang diambil dalam Belanjawan 2019.

Menurut Najib kerajaan PH kini menjarah Petronas untuk membayar dividen yang tinggi dalam usaha menampung kekurangan hasil negara, sekali gus menyebabkan penarafan kredit negara pun berkemungkinan besar turut dipengaruhi.

Kata Najib, penarafan negatif firma Moody’s itu dibuat ketika harga semasa minyak dunia boleh dianggap tinggi serta stabil ketika ini.

“Apa jadi kalau harga minyak jatuh? Apa ‘buffer’ atau penampan yang kita ada untuk tampung (kesan yang berlaku) sekiranya berlaku krisis harga minyak sekali lagi?” soal beliau.

Najib berkata, kerajaan BN sebelum ini berusaha bersungguh-sungguh untuk mengurangkan kebergantungan negara kepada hasil minyak.

Cara yang diambil, katanya, ialah dengan mempelbagaikan sumber selaras dengan keperluan semasa dan sejajar dengan arus perkembangan ekonomi dunia.

Berita Harian X