Rabu, 21 November 2018 | 6:56pm

Minyak mentah global naik 1.0 peratus

SINGAPURA: Harga minyak mentah global melonjak lebih 1.0 peratus hari ini menamatkan kerugian pada hari sebelumnya, susulan laporan penurunan yang tidak dijangka dalam inventori minyak komersial Amerika Syarikat (AS) dan import minyak mentah India.

Niaga hadapan minyak mentah Brent didagangkan AS$63.39 setong pada 0747 GMT, naik AS$86 cent setong atau 1.4 peratus, daripada penutup terakhir.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI), meningkat 90 cent, atau 1.7 peratus, kepada AS$54.33 setong.

Pemulihan pada Rabu berlaku selepas laporan oleh Institut Petroleum Amerika lewat Selasa bahawa inventori minyak mentah AS minggu lalu jatuh tanpa dijangka sebanyak 1.5 juta tong kepada 439.2 juta, pada tempoh seminggu hingga 16 November.

Rekod import minyak mentah oleh India hampir lima juta tong sehari juga menyokong harga, kata peniaga.

“Ekonomi global masih dalam tempoh sukar dan sangat rapuh," kata ketua IEA, Fatih Birol pada Selasa.

Bank pelaburan AS, Goldman Sachs pada Rabu menyatakan bahawa kejatuhan harga baru-baru ini mencerminkan "kebimbangan terhadap penawaran yang berlebihan pada 2019 ... (dan) penjualan komoditi yang lebih luas menyebabkan kebimbangan pertumbuhan terus meningkat".

Dengan pengeluaran yang meningkat dan prospek permintaan merosot, Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) menekankan untuk memotong bekalan antara 1 juta dan 1.4 juta tong sehari untuk mengelakkan krisis 2014 berulang. - Reuters

Berita Harian X