Rabu, 21 November 2018 | 7:12pm

Bursa Malaysia ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini apabila penurunan dalam saham wajaran tinggi terpilih dan sentimen lemah di pasaran Asia menjejaskan sentimen belian dalam pasaran tempatan.

FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 15.34 mata untuk ditutup kepada 1,695.37 daripada paras penutup 1,710.71 pada Isnin.

Selepas dibuka 16.14 mata lebih rendah kepada 1,694.57 pagi ini, indeks petunjuk pasaran terus kekal lemah dan bergerak antara paras 1,689.68 dan 1,698.68 sepanjang hari dagangan.

Peniaga berkata, sentimen belian dalam pasaran tempatan terjejas oleh penurunan di kebanyakan pasaran serantau, dengan Nikkei Jepun jatuh 0.35 peratus kepada 21,507.54, Indeks Komposit Jakarta susut 0.95 peratus kepada 5,948.05 dan Indeks Komposit KOSPI Korea Selatan turun 0.29 peratus kepada 2,076.55.

Di pasaran tempatan, saham wajaran tinggi Maybank turun 10 sen kepada RM9.40, Public Bank jatuh 18 sen kepada RM24.82, manakala Tenaga dan Petronas Chemicals susut enam sen setiap satu masing-masing kepada RM14.80 dan RM9.25.

Dalam kalangan kaunter cergas, Sapura Energy naik 1.5 sen kepada 37.5 sen, MYEG susut tiga sen kepada RM1.12 dan Hibiscus Petroleum tidak berubah pada RM1.06.

Sementara itu, Topvision Eye Specialist Bhd mengakhiri dagangan hari pertamanya di Pasaran LEAP Bursa Malaysia pada 23 sen dengan premium lima sen berbanding harga terbitannya pada 18 sen, dengan 160,000 saham diniagakan.

Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 497 berbanding 319, manakala 359 kaunter tidak berubah, 706 tidak diniagakan dan 31 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.04 bilion unit bernilai RM1.93 bilion daripada 1.58 bilion unit bernilai RM1.56 bilion yang dicatatkan pada Isnin.

Bursa Malaysia dan anak syarikatnya ditutup pada Selasa sempena cuti umum sambutan Hari Maulidur Rasul.

Indeks FBM Emas turun 82.24 mata kepada 11,816.62, Indeks FBMT 100 susut 83.04 mata kepada 11,656.46 dan FBM 70 berkurangan 13.49 mata kepada 14,023.29.

Indeks FBM Emas Shariah susut 70.4 mata kepada 11,883.65 tetapi Indeks FBM Ace naik 24.85 mata kepada 4,999.93.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan berkurangan 146.03 mata kepada 17,305.31, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.94 mata kepada 173.07 dan Indeks Perladangan turun 59.29 mata kepada 7,191.98.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.29 bilion saham bernilai RM1.74 bilion daripada 948.63 juta saham bernilai RM1.40 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran naik kepada 492.69 juta unit bernilai RM130.06 juta daripada 362.52 juta unit bernilai RM90.40 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE susut kepada 262.21 juta saham bernilai RM67.21 juta daripada 272.18 juta saham bernilai RM71.52 juta sebelumnya.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 200.56 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (244.25 juta), pembinaan (55.27 juta), teknologi (200.21 juta), SPAC (136,000), perkhidmatan kewangan (29.21 juta), hartanah (100.49 juta), perladangan (26.91 juta), REITs (6.11 juta), dana tertutup (7,000), tenaga (272.12 juta), penjagaan kesihatan (27.78 juta), telekomunikasi dan media (87.11 juta), pengangkutan dan logistik (22.45 juta) dan utiliti (17.90 juta).

-- BERNAMA

Berita Harian X