Jumaat, 14 Disember 2018 | 6:56pm

Bursa Malaysia ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini sejajar dengan aliran menurun di bursa serantau berikutan sentimen lemah pasaran yang berterusan dan kemunculan semula pengelakan risiko yang mengehadkan minat terhadap ekuiti, kata peniaga.

FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 14.04 mata kepada 1,661.96 daripada pada penutup Khamis pada 1,676.00 berikutan penjualan kaunter berkaitan indeks seperti IHH Healthcare, Tenaga, Public Bank dan Maybank.

Indeks petunjuk pasaran itu bergerak antara paras 1,661.30 dan 1,671.73 sepanjang hari dagangan dengan keseluruhan suasana pasaran kekal kurang memberangsangkan.

Dagangan di bursa tempatan juga menyaksikan jualan besar-besaran dalam saham permodalan kecil dengan Indeks Permodalan Kecil susut 129.09 mata untuk ditutup pada 11,906.14.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 541 berbanding 242, manakala 339 kaunter kekal tidak berubah, 780 tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.

Jumlah dagangan susut sedikit kepada 1.50 bilion unit, bernilai RM1.39 bilion, daripada 1.57 bilion unit bernilai RM1.65 bilion, yang diniagakan pada Khamis.

Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd, Kenny Yee berkata trend menurun di Bursa Malaysia adalah disebabkan oleh pelabur tempatan yang dipengaruhi oleh penurunan Dow Jones Industrial Average, aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu ditambah dengan kebimbangan akan pertumbuhan ekonomi China.

“Ekonomi China terus mencatatkan pertumbuhan perlahan dan data ekonomi yang lemah sedikit sebanyak menjejaskan sentimen.

“Kita ada pelaburan dan perdagangan yang agak besar dengan China, jadi apa-apa perkembangan adalah membimbangkan,” katanya kepada Bernama.

Pertumbuhan pengeluaran perindustrian China menguncup kepada 5.4 peratus pada November, paras terendah sejak permulaan 2016, manakala jualan runcit meningkat 8.1 peratus, yang terendah dalam tempoh 15 tahun.

Di bursa tempatan, dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut tujuh sen kepada RM9.37, Public Bank jatuh 24 sen kepada RM24.74, Tenaga turun 20 sen kepada RM13.26, Petronas Chemicals berkurangan lima sen kepada RM9.12 manakala CIMB susut empat sen kepada RM5.80.

Dalam kalangan kaunter aktif, Priceworth menokok setengah sen kepada 5.5 sen, Bumi Armada susut setengah sen kepada 17.5 sen, Vortex turun satu sen kepada 8.5 sen manakala Hubline tidak berubah pada empat sen.

Indeks FBM Emas turun 88.88 mata kepada 11,419.11, Indks FBMT 100 susut 86.21 mata kepada 11,317.53, FBM 70 jatuh 63.80 mata kepada 13,193.56, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 106.89 mata kepada 11,348.28 dan Indeks FBM Ace menguncup 70.64 mata kepada 4,390.11.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 108.02 mata kepada 17,357.76, Indeks Perladangan jatuh 50.88 mata kepada 6,647.66 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.98 mata kepada 166.80.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 938.32 juta saham bernilai RM1.28 bilion, daripada 1.02 bilion saham bernilai RM1.53 bilion, yang dicatatkan pada Khamis.

Jumlah dagangan waran jatuh kepada 358.09 juta unit bernilai RM78.45 juta daripada 362.52 juta unit bernilai RM87.82 juta sebelumnya.

Bagaimanapun, jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 198.15 juta saham bernilai RM29.39 juta berbanding 183.29 juta saham bernilai RM26.97 juta yang dicatatkan pada Khamis.

Produk dan Perkhidmatan pengguna menyumbang 1.49 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (216.23 juta), pembinaan (55.25 juta), teknologi (87.15 juta), SPAC (98,500), perkhidmatan kewangan (22.76 juta), hartanah (91.63 juta), perladangan (39.39 juta), REITs (3.21 juta), dana tertutup (1,500), tenaga (155.08 juta), penjagaan kesihatan (25.21 juta), telekomunikasi dan media (17.92 juta), pengangkutan dan logistik (61.66 juta), dan utiliti (13.52 juta). - BERNAMA

Berita Harian X