Isnin, 21 Januari 2019 | 5:40pm
Penilaian saham di seluruh dunia menjadi lebih menarik selepas melalui tahun penuh mencabar pada 2018. - Foto hiasan

Masa yang tepat kembali ke pasaran saham

PETALING JAYA: Penilaian saham di seluruh dunia menjadi lebih menarik selepas melalui tahun penuh mencabar pada 2018, yang membuka peluang kepada pelabur mendapatkan saham-saham dalam pelbagai sektor, kata Fundsupermart.com Malaysia.

Pengurus Besarnya, Wong Weiyi, 2018 adalah antara tahun paling mencabar dalam sejarah pasaran kewangan, dengan kebanyakan pasaran saham global mengakhiri tahun dalam wilayah negatif.

Beliau menambah, ketidaktentuan pasaran yang semakin bertambah juga menggusarkan pelabur dan mencetuskan kebimbangan berlaku kejatuhan besar dalam pasaran saham global.

“Namun, saya percaya penilaian beberapa pasaran saham global menjadi lebih menarik selepas berjaya menepis kebimbangan pelabur. Justeru, banyak peluang dan nilai dana pelbagai segmen pasaran mula muncul,” katanya pada Pameran Pelaburan Unit Amanah Fundsupermart.com: Apakah dan Dimana Untuk Melabur di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Weiyi berkata secara keseluruhannya ekonomi global dijangka dalam wilayah positif walaupun pada unjuran yang lebih rendah.

Justeru, beliau berkata, prospek pendapatan korporat akan menyokong pertumbuhan ekonomi pada 2019.

“Ketika ini, kami percaya sentimen pelabur menyusut berikutan jualan besar-besaran dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini dalam pasaran kewangan global dan pembetulan semula sentimen pelabur ini akan memberi keuntungan bagi aset risiko pada tahun ini.

“Di Amerika Syarikat (AS), walaupun data ekonomi menyatakan bahawa kitaran perniagaan berada pada peringkat akhir, kami tidak menjangkakan sebarang kemelesetan secara nyata bagi ekonomi negara itu dan ia dijangka berkembang 2.6 peratus tahun ini didorong oleh pelaburan sektor korporat dan penggunaan domestik,” katanya.

Bagi pasaran bon, beliau berkata Fundsupermart membayangkan landskap pendapatan tetap akan kekal rancak pada 2019, sekali gus memberi peluang taktikal kepada pelabur.

“Mengenai konteks setempat, pelabur mungkin mahu menimbangkan dana bon jangka panjang untuk mendapatkan premium jangka panjang memandangkan Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan status quo terhadap dasar monetari,” katanya.

Pameran Pelaburan Unit Amanah Fundsupermart.com: Apakah dan Dimana Untuk Melabur adalah acara tahunan yang memberi peluang kepada pelabur untuk mengetahui pelbagai jenis unit amanah yang sepadan dengan objektif mereka.

Pada pameran itu, sembilan pakar industri berkongsi pandangan pelaburan mengenai risiko, peluang, strategi dan prospek bagi tahun ini di samping pameran oleh 15 peserta industri.

Berita Harian X