Selasa, 29 Januari 2019 | 1:12pm

Saham China, HK jatuh selepas Huawei didakwa

SHANGHAI: Saham China dan Hong Kong jatuh hari ini, berikutan pendakwaan jenayah oleh Washington ke atas gergasi telekomunikasi China, Huawei.

Ini melemahkan prospek kejayaan perjanjian perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China, sekali gus memberi kesan kepada sentimen pelabur.

Bagaimanapun, kerugian di tanah besar China dihadkan oleh langkah-langkah baharu Beijing untuk merangsang pasaran dan ekonominya yang lembap.

Indeks CSI300 turun 0.1 peratus kepada 3,180.57 pada akhir sesi pagi, manakala Indeks Komposit Shanghai turun 0.5 peratus kepada 2,583.94.

Saham H-share China yang disenaraikan di Hong Kong jatuh 0.57 peratus kepada 10,819.94, manakala indeks Hang Seng turun 0.59 peratus pada 27,413.16.

Sentimen pelabur, yang sudah pun goyang susulan kelembapan pertumbuhan ekonomi global, menerima satu lagi tamparan selepas Jabatan Kehakiman AS membuat pendakwaan ke atas pembuat peralatan telekomunikasi China, Huawei, kerana melakukan penipuan bank dan penipuan teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT) bertujuan menghindari sekatan ke atas Iran dan bersekongkol untuk mencuri rahsia perdagangan dari T -Mobile US Inc.

Kejutan Huawei itu boleh menjejaskan prospek untuk mencapai kesepakatan perdagangan antara dua gergasi ekonomi dunia itu apabila pasaran dengan gementar menunggu pusingan baharu rundingan perdagangan dengan mana Naib Perdana Menteri Liu He dijadualkan bersemuka dengan pegawai AS pada hari Rabu dan Khamis.

Bagi membantu ekonomi China, perancang ekonomi negara itu hari ini melancarkan pelbagai langkah bertujuan memacu penjualan barangan daripada kereta dan peralatan hinggalah kepada perkhidmatan maklumat.

Badan kawal selia insurans di China menggalakkan penanggung insurans untuk membeli lebih banyak stok dan bon, sementara badan pemantau sekuriti negara itu pula mengeluarkan kenyataan tengah hari tadi menafikan khabar angin bahawa tugas utamanya pada 2019 adalah untuk mempromosikan mekanisme untuk jualan pendek. - Reuters

Berita Harian X