Jumaat, 8 Februari 2019 | 12:37pm

Harga minyak semakin susut

SINGAPURA: Pasaran minyak susut hari ini, ditarik turun oleh kelembapan ekonomi, walaupun pengurangan bekalan diterajui Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekatan Amerika Syarikat (AS) terhadap Venezuela memberi sedikit sokongan harga.

Niaga hadapan mentah West Texas Intermediate (WTI) berada pada AS$52.20 setong pada 0351 GMT, turun 44 sen, atau 0.8 peratus, daripada penutup sebelumnya. WTI turun 2.5 peratus pada sesi sebelumnya.

Niaga hadapan penanda aras minyak mentah Brent turun 44 sen, atau 0.7 peratus, pada AS$61.19 setong, selepas jatuh 1.7 peratus pada sesi sebelumnya.

Terdapat kebimbangan bahawa persengketaan perdagangan AS-China akan kekal tiada penyelesaiannya, yang mana ini akan menjejaskan prospek pertumbuhan ekonomi global.

Presiden Donald Trump berkata, beliau tidak bercadang untuk bertemu Presiden China Xi Jinping sebelum tarikh akhir 1 Mac yang ditetapkan oleh kedua-dua negara untuk memuktamadkan perjanjian perdagangan itu.

Sekiranya tidak ada perjanjian antara dua ekonomi terbesar di dunia itu, Trump mengancam untuk meningkatkan tarif AS ke atas import China. Satu lagi rundingan akan diadakan minggu depan di Beijing.

"Harga minyak mentah kembali ke paras terendah minggu ini kerana prospek pertumbuhan yang perlahan ... ia boleh mengisyaratkan peningkatan inventori," kata Edward Moya, penganalisis pasaran di Oanda.

Semalam, Suruhanjaya Eropah merendahkan unjuran pertumbuhan ekonomi bagi zon euro berikutan jangkaan ketegangan perdagangan global dan pelbagai cabaran domestik.

Suruhanjaya itu berkata, pertumbuhan tahun ini akan turun kepada 1.3 peratus daripada 1.9 peratus pada 2018, sebelum pulih pada 2020 kepada 1.6 peratus.

Bagaimanapun, peniaga berkata harga minyak mentah dihalang daripada jatuh lebih lanjut oleh pengurangan bekalan diterajui OPEC.

Sebagai sebahagian daripada pengurangan itu, Arab Saudi selaku pengeksport minyak mentah terbesar di dunia, mengurangkan pengeluarannya pada Januari sebanyak kira-kira 400,000 tong sehari (bpd) kepada 10.24 juta tong sehari, demikian menurut sumber OPEC.

Satu lagi risiko kepada bekalan datangnya dari Venezuela selepas pelaksanaan sekatan AS ke atas industri petroleum negara anggota OPEC itu pada akhir Januari. Penganalisis menjangka langkah akan mengurangkan eksport sebanyak 300,000-500,000 tong sehari. - Reuters

Berita Harian X