Selasa, 26 Februari 2019 | 7:04pm

Bursa Malaysia ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini berikutan aktiviti jualan dalam keseluruhan pasaran, kata seorang peniaga.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 5.58 mata atau 0.32 peratus lebih rendah kepada 1,719 daripada paras penutup 1,724.58 pada Isnin.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka 0.99 mata lebih tinggi kepada 1,725.57 dan bergerak antara paras 1,715.15 dan 1,726 sepanjang hari dagangan.

Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 674 berbanding 285 manakala 294 kaunter kekal tidak berubah, 628 tidak diniagakan dan 58 yang lain digantung.

Jumlah dagangan tinggi sedikit sebanyak 2.63 bilion unit bernilai RM2.21 bilion, berbanding 2.62 bilion unit bernilai RM2.15 bilion.

Seorang peniaga berkata, prestasi pasaran tempatan juga sejajar dengan pasaran serantau lain apabila pelabur memantau dengan rapat potensi rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.

Indeks Straits Times Singapura turun 0.29 peratus kepada 3,262.75, Hang Seng Hong Kong susut 0.37 peratus kepada 21,449.39 dan Nikkei 225 Jepun jatuh 0.65 peratus kepada 28,772.06.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi di Bursa Malaysia, Petronas Chemicals meningkat sembilan sen kepada RM9.25, MISC melonjak 10 sen kepada RM7, CIMB naik empat sen kepada RM5.88 manakala Hong Leong Financial Group menokok 28 sen kepada RM20.10.

Petronas Dagangan susut RM1.60 kepada RM26.80, Maxis turun 10 sen kepada RM5.43, Press Metal jatuh 13 sen kepada RM4.15 dan Axiata berkurangan lima sen kepada RM4.12.

Dalam kalangan kaunter cergas, GD Express meningkat 5.5 sen kepada 36 sen, Seacera turun dua sen kepada 34.5 sen, Econpile jatuh lapan sen kepada 45 sen dan Karex berkurangan 3.5 sen kepada 39.5 sen.

Saham tenaga, Bumi Armada turun satu sen kepada 19 sen, Sapura Energy susut 1.5 sen kepada 30.5 sen, Hibiscus Petroleum berkurangan lima sen kepada RM1.01 dan Dayang Enterprise jatuh 5.5 sen kepada 96.5 sen.

Indeks FBM Emas turun 43.53 mata kepada 11,957.41, Indeks FBMT 100 jatuh 33.56 mata kepada 11,822.86 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 80.46 mata kepada 11,880.18.

FBM 70 turun 20.53 mata kepada 14,292.03 dan Indeks FBM Ace susut 53.21 mata kepada 4,633.77.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 35.67 mata kepada 17,878.47, Indeks Perladangan turun 46.14 mata kepada 7,380.88 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian jatuh 0.4 mata kepada 168.64.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 1.90 bilion saham bernilai RM2.04 bilion berbanding 1.82 bilion saham bernilai RM1.98 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran turun kepada 465.20 juta unit bernilai RM100.30 juta daripada paras 528.53 juta unit bernilai RM109.99 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE naik sedikit kepada 261.74 juta saham bernilai RM65.49 juta daripada 260.43 juta saham bernilai RM55.74 juta sebelumnya.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 269.40 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (267.79 juta), pembinaan (259.73 juta), teknologi (149.18 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (55.12 juta), hartanah (86.30 juta), perladangan (38.29 juta), REITs (7.57 juta), dana tertutup (sifar), tenaga (579.61 juta), penjagaan kesihatan (31.18 juta), telekomunikasi dan media (34.84 juta), pengangkutan dan logistik (102.30 juta) dan utiliti (22.21 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X