Isnin, 25 March 2019 | 6:58pm

Bursa Malaysia susut 17.51 mata

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup lebih rendah hari ini dengan indeks penanda aras susut 1.05 peratus berikutan kekurangan pemangkin pasaran serta jualan berterusan membabitkan saham berkaitan pengguna.

Indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup 17.51 mata lebih rendah kepada 1,649.15 berbanding paras 1,666.66 sewaktu ditutup pada Jumaat lalu.

Indeks itu dibuka berkurangan 14.52 mata kepada 1,652.14 dan bergerak dalam lingkungan 1,648.06 dan 1,654.26 sepanjang dagangan hari ini.

Peniaga berkata, keadaan persekitaran luaran juga ternyata tidak membantu bursa tempatan itu berikutan peningkatan kebimbangan mengenai kelembapan ekonomi global susulan pengumuman data pengilangan Amerika Syarikat (AS) yang lemah.

“Laporan menunjukkan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Amerika Syarikat susut ke paras terendah dalam tempoh 21 bulan pada Mac manakala PMI perkhidmatan pula mencecah paras terendah dalam tempoh dua bulan.

“PMI pembuatan itu jatuh kepada 52.5 daripada 53 pada Februari manakala PMI perkhidmatan berkurangan kepada 54.8 daripada 56,” katanya.

Di papan skor, sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 684 berbanding 191 manakala 335 kaunter kekal tidak berubah, 700 tidak didagangkan dan 40 lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.78 bilion unit bernilai RM1.73 bilion berbanding 2.75 bilion unit bernilai RM2.13 bilion pada Jumaat lalu.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank susut enam sen kepada RM9.23, Tenaga merosot 12 sen kepada RM12.76, PBBank rugi 10 sen kepada RM23.76 manakala PChem dan IOI Corporation sebaliknya tidak berubah masing-masing pada RM9.03 dan RM4.49.

Bagi saham aktif, Bumi Armada untung satu sen kepada 19.5 sen, My E.G. Services turun enam sen kepada RM1.33 manakala Orion IXL merosot setengah sen kepada 21 sen.

Sementara itu, Sapura Energy dan PUC Bhd masing-masing tidak berubah pada 34.5 sen dan 9.5 sen.

Selain itu, Indeks FBM Emas kehilangan 119.66 mata kepada 11,563.51, FBMT 100 susut 117.06 mata kepada 11,420.13 manakala Indeks FBM Emas Syariah turun 104.07 mata kepada 11,651.08.

Indeks FBM Ace pula berkurangan 71.5 mata kepada 4,743.29, FBM 70 turun 127.68 mata kepada 14,124.86.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 179.99 mata kepada 16,994.78, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri turun 1.41 mata kepada 167.6 manakala Indeks Perladangan berkurangan 6.51 mata kepada 7,186.34.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurangan kepada 1.93 bilion saham bernilai RM1.56 bilion berbanding 2.75 bilion saham bernilai RM2.13 bilion pada Jumaat.

Jumlah waran susut kepada 477.37 juta unit bernilai RM98.85 juta berbanding 508.99 juta unit bernilai RM97.46 juta.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan meningkat kepada 379.88 juta saham bernilai RM71.33 juta daripada 362.32 juta saham bernilai RM78.63 juta.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 173.32 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (398.03 juta), pembinaan (120.53 juta), teknologi (141.78 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (44.5 juta), hartanah (82.25 juta), perladangan (17.18 juta), REIT (6.62 juta), dana tertutup (58,400), tenaga (834.56 juta), penjagaan kesihatan (21.67 juta), telekomunikasi dan media (32.13 juta) manakala utiliti (20.54 juta). -BERNAMA

Berita Harian X