Khamis, 4 April 2019 | 11:37am

Brent menghampiri AS$70 satu tong

TOKYO: Harga minyak bercampur-campur Khamis, dengan Brent menokok ke arah paras psikologi penting AS$70 satu tong selepas susut pada sesi sebelumnya.

Niaga hadapan Brent naik lima sen pada AS$69.36 satu tong pada 0224 GMT.

Semalam, Brent merosot enam sen, selepas mencecah AS$ 9.96, tertinggi sejak 12 November.

Minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) susut tiga sen kepada AS$62.43 satu tong.

Kontrak itu turun 12 sen dalam sesi sebelumnya selepas mencecah AS$62.99 buat seketika, juga tertinggi sejak November.

Penanda aras global Brent meningkat hampir 30 peratus setakat tahun ini, sementara WTI naik hampir 40 peratus, dengan harga disokong pengurangan bekalan global dan tanda-tanda permintaan yang meningkat.

"Terdapat kecenderungan yang jelas harga akan naik dengan sekatan ke atas bekalan," kata Michael McCarthy, Ketua Strategi Pasaran di CMC Markets di Sydney, merujuk kepada pemotongan pengeluaran oleh OPEC dan sekutunya selain sekatan ke atas Iran.

"Dan gambaran permintaan yang lebih baik daripada jangkaan selepas penerbitan angka Indeks Pengurus Pembelian (PMI) oleh China dan AS baru-baru ini, selain perkembangan positif rundingan perdagangan AS-China," katanya.

Minyak mentah juga disokong perjanjian antara Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutu seperti Russia, perkumpulan yang dikenali sebagai OPEC+, bagi mengurangkan pengeluaran minyak sebanyak kira-kira 1.2 juta tong sehari tahun ini.

Tekanan AS ke atas Iran semakin meningkat, dengan seorang pegawai kanan pentadbiran Trump pada awal minggu berkata bahawa Washington mempertimbangkan lebih banyak sekatan ke atas negara itu.

Bagaimanapun, inventori minyak mentah di AS naik 7.2 juta tong minggu lalu.

Pengeluaran minyak mentah AS menokok 100,000 tong sehari kepada rekod 12.2 juta tong sehari, selepas berlegar sekitar 12-12.1 juta tong sehari sejak pertengahan Februari, demikian menurut data Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA). - Reuters

Berita Harian X