Selasa, 25 Jun 2019 | 2:36pm
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking. - NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking. - NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria

Ekonomi Malaysia dijangka meningkat 4.8 peratus

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia dijangka meraih pertumbuhan stabil tahun ini dengan berkembang antara 4.3 peratus dan 4.8 peratus disokong oleh aktiviti sektor swasta, pertumbuhan pekerjaan dan pendapatan yang stabil serta pengembangan kapasiti perniagaan mampan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking, berkata sektor pembuatan kekal memacu pertumbuhan ekonomi negara dengan dijangka berkembang 4.8 peratus disokong oleh pengenalan produk bernilai tinggi dan ditambah baik sementara sektor perkhidmatan dijangka mengekalkan momentum sederhana pada 5.7 peratus tahun ini.

“Pelaburan diluluskan bagi suku pertama 2019 berkembang 3.1 peratus kepada RM53.9 bilion disokong oleh prestasi kukuh sektor pembuatan.

“Ia dijangka mencipta 41,200 peluang pekerjaan dengan 22,970 dalam sektor pembuatan, perkhidmatan (18,000) dalam perkhidmatan dan sektor utama lain sebanyak 240 pekerjaan,” katanya ketika merasmikan Laporan MITI 2018 dan Laporan Produktiviti 2018/2019 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Darell berkata, pelaburan alngsung asing (FD)) pada suku pertama 2019 meningkat kepada RM21.7 bilion berbanding RM12.9 bilion pada suku sama tahun sebelumnya.

“Aktiviti dagangan kembali kukuh pada April 2019 dengan jumlah dagangan berkembang 2.6 peratus kepada RM159.55 bilion manakala eksport untuk April naik 1.1 peratus kepada RM85.2 bilion selepas mencatatkan pertumbuhan negatif dua bulan berturut-turut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, prestasi perdagangan sepanjang tahun lalu terus berdaya tahan dengan jumlah perdagangan berkembang 5.9 peratus kepada RM1.88 trilion dengan eksport meningkat 6.8 peratus kepada RM998.28 bilion manakala import bertambah 4.9 peratus kepada RM877.76 bilion.

Ia adalah pertumbuhan terpantas dalam tempoh 10 tahun dan lebihan dagangan terbesar sejak 2012.

“Dasar perniagaan mesra pelabur dan arah tuju ekonomi yang jelas meningkatkan keyakinan pelabur dengan jumlah pelaburan diluluskan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan sektor utama sebanyak RM201.7 bilion.

“Pelaburan dalam sektor pembuatan mencatatkan jumlah lebih tinggi berikutan terdapat peningkatan dua kali ganda dalam pelaburan langsung asing pada RM58 bilion berbanding RM21.5 bilion pada 2017,” katanya.

Mengenai prospek masa depan, Darell berkata, MITI dan agensi berkaitan komited untuk menarik pelaburan berdaya tahan, meningkat aktitiviti dagangan dan menambah peluang perniagaan dengan mengukuhkan pertumbuhan sektor, memberi kemudahan yang berkauliti dan berstruktur kepada ekosistem perniagaan.

“Sejajar dengan inisiatif ini, industri teknologi tinggi seperti sektor automotif dan aeroangkasa serta perkhidmatan berpengetahuan nilai tinggi akan turut diperkenalkan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X