Selasa, 9 Julai 2019 | 3:06pm
Pada jam 12.30 tengah hari, penanda aras FBM KLCI meningkat 2.24 mata kepada 1,679.88 daripada 1,677.64 pada penutupan Isnin. - Foto hiasan

Bursa Malaysia ditutup tinggi akhiri sesi pagi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi pada akhir dagangan pagi didorong faktor dalaman, dengan pelabur kini menunggu pengumuman mengenai kadar dasar semalaman yang dijadual diumumkan oleh Bank Negara Malaysia hari ini.

Pada jam 12.30 tengah hari, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.24 mata kepada 1,679.88 daripada 1,677.64 pada penutupan Isnin.

Indeks bergerak antara 1,677.98 dan 1,681.81 di sepanjang sesi pagi.

Kedudukan pasaran secara menyeluruh bagaimanapun negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 368 berbanding 310 manakala 393 kaunter tidak berubah, 777 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.37 bilion saham bernilai RM721.76 juta.

Prestasi FBM KLCI berbeza dengan kedudukan bursa serantau dengan Indeks Straits Times Singapura turun 0.24 peratus kepada 3,326.14, Nikkei Jepun susut 0.05 peratus kepada 21,524.55 manakala Indeks Hang Seng Hong Kong merosot 0.8 peratus kepada 28,106.22.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank meningkat tiga sen kepada RM8.95, Maxis naik tiga sen kepada RM5.63, Public Bank menambah dua sen pada RM23.00, manakala Petronas Chemicals tidak berubah pada RM8.60, dan Tenaga turun lapan sen kepada RM13.74 .

Bagi saham aktif, Ekovest dan Focus Dynamics masing-masing naik setengah sen kepada 81 sen dan 27 sen manakala Barakah Offshore dan SMTrack masing-masing meningkat satu sen kepada 6.5 sen dan 23 sen.

Indeks FBM Emas meningkat 25.14 mata kepada 11,892.55 manakala Indeks FBMT 100 menambah 24.34 mata kepada 11,728.76.

Indeks FBM Emas Syariah menambah 33.54 mata kepada 12,267.44, FBM 70 meningkat 66.26 mata kepada 14,897.6 manakala FBM Ace menokok 35.59 mata kepada 4,617.75.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 36.92 mata kepada 16,793.58, Indeks Perladangan menambah 17.41 mata kepada 6,962.58, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri turun 0.05 dari satu mata kepada 162.00.

-- BERNAMA

Berita Harian X