Isnin, 29 Julai 2019 | 9:00am
Bio-Xcell Sdn Bhd.

Jual aset Bio-Xcell kepada syarikat asing jejas agenda bioekonomi

KUALA LUMPUR: Tawaran jualan Kemudahan Utiliti Pusat (CUF) milik Bio-Xcell Sdn Bhd, aset bermasalah oleh sebuah bank tempatan kepada firma biofarmaseutikal terbesar India, Biocon Ltd pada harga di bawah nilai pasaran akan menjejaskan agenda pertumbuhan industri bioteknologi Malaysia.

Selain itu, CUF yang terletak di taman bioteknologi Bio-Xcell berkeluasan 64.75 di Southern Industrial & Logistics Clusters (SiLC) di Iskandar Puteri, Johor itu juga adalah aset strategik negara yang tidak seharusnya dibiarkan jatuh ke tangan syarikat asing.

Menurut sumber yang arif dengan perkara itu, isu terbesar mengenai tawaran jualan CUF itu kepada syarikat asing ialah ia dikhuatiri akan menjejaskan inisiatif kerajaan dalam membangunkan agenda bioekonomi kebangsaan.

Ini kerana katanya, Biocon dikhuatiri akan mendominasi atau lebih mengutamakan CUF untuk kegunaan operasinya sahaja sekali gus menimbulkan masalah kepada syarikat lain yang telah atau bakal mahu menubuhkan operasi mereka di taman perindustrian berkenaan.

Katanya, biarpun beliau difahamkan yang Biocon telah dikenakan syarat supaya ia perlu menawarkan perkhidmatan CUF kepada pelabur lain juga di taman bioteknologi berkenaan, ia adalah satu syarat yang sukar dikuatkuasakan.

"Bayangkan, Biocon menandatangani perjanjian ini dengan firma penerima, bukan bank tempatan terbabit. Jadi jika mereka ingkar dengan kontrak ini, apa yang boleh dilakukan. Adakah firma penerima (atau receiver) terbabit mahu mengambil tindakan terhadap syarikat berkenaan?

"Keduanya, mengapa Biocon perlu mengutamakan keperluan pihak lain. Mereka mungkin tidak akan melayan kerana mereka berhak berbuat demikian kerana itu adalah loji dan aset mereka," katanya kepada BH, ketika dihubungi, di sini, semalam.

Difahamkan Biocon ditawarkan untuk membeli CUF dan lapan bidang tanah milik Bio-Xcell pada harga RM25 juta, menurut sumber yang biasa dengan perjanjian itu.

Jualan itu dibuat menerusi sebuah firma penerima dan pengurus (R&M), yang dilantik oleh bank tempatan terbabit pada Mac lalu, selepas Bio-Xcell mengalami insolvensi pada Februari lalu.

Menurut laporan media sebelum ini, Bio-Xcell mempunyai tunggakan kemudahan kredit sebanyak RM130 juta dengan bank itu yang mencagarkan asetnya termasuk tanah dan CUF.

"Biocon sudah pun menerima surat tawaran bersyarat daripada firma R&M itu.Terdapat beberapa syarat terdahulu utama yang perlu diselesaikan dalam tempoh 90 hari," kata sumber berkenaan.

CUF menyediakan stim industri, air dingin dan sistem pengurusan sisa air berpusat untuk penyewa di taman itu.

Bio-Xcell ditubuhkan pada tahun 2009 menerusi usaha sama 60:40 di antara Bioeconomy Development Corp Sdn Bhd dan UEM Sunrise Bhd, bagi mempercepatkan pengkomersilan industri bioteknologi di Malaysia.

Berdasarkan carian di Suruhanjaya Syarikat Malaysia mendapati kerugian terkumpul Bio-Xcell untuk tahun kewangan berakhir 2017 ialah sebanyak RM207.36 juta.

Menurut sumber itu, penjualan CUF itu juga sebenarnya dibimbangi akan menjejaskan imej negara kerana agenda bioekonomi Malaysia telah dipromosikan di seluruh dunia.

Katanya, terdapat sebuah syarikat kosmetik antarabangsa telah membeli satu bidang tanah di taman bioteknologi berkenaan dan merancang untuk membuka kilang mereka di situ.

"Syarikat ini turut mempunyai dua tanah lain di Malaysia namun memilih untuk membuka kemudahan mereka di taman BIo-Xcell ini disebabkan ia mempunyai CUF.

"Ini kerana, mereka perlu mematuhi agenda hijau yang menjadi sebahagian daripada agenda koporat mereka. Antaranya mereka perlukan kemudahan wap hijau (green steam) atau utiliti hijau kerana bahan api yang menjana CUF dijanakan daripada biomas.

"Keduanya, kos adalah lebih murah kerana mereka tidak perlu melabur untuk membina utiliti sendiri sebaliknya boleh beli terus daripada CUF.

Jadi, apabila CUF ini tiba-tiba diuruskan oleh syarikat pengilang lain, maka sudah tentu ia akan mendatangkan kesulitan kepada operasi mereka nanti," katanya.

“Selain itu, apa yang menimbulkan persoalan dengan transaksi ini ialah apabila ia dikatakan dibuat secara rundingan terus dengan Biocon dan tidak dibuat secara tender. Tidak seperti aset lain milik Bio-Xcell seperti tanah yang dijual menerusi tender dan dimaklumkan menerusi hebahan di surat khabar.

"Berikutan ia dibuat secara tertutup tanpa pengetahuan umum menimbulkan lebih banyak persoalan," kata sumber itu.

Biarpun bank tempatan terbabit sebenarnya mempunyai 100 peratus hak untuk berbuat demikian kerana semua aset ini kini adalah milik mereka, namun ia seharusnya menimbangkan kepentingan nasional dan tidak bersandarkan kepada faktor komersil semata-mata, katanya.

"Ini kerana, semua ini adalah aset milik kerajaan dan bukannya aset milik pihak persendirian atau swasta yang mana di dalamnya terkandung agenda dan mandat kerajaan, yang berkait dengan akta berkaitan bioekonomi negara.

"Jadi, mereka seharusnya mengutamakan syarikat tempatan yang saya percaya ada dan mempunyai keupayaan untuk mengendalikan CUF ini.

"Pada saya, kerajaan seharusnya meletakkan syarat bahawa aset ini jika mahu dijual mesti diberi keutamaan kepada syarikat Malaysia. Sekarang ini, sebuah aset kerajaan yang amat berharga dan terletak di lokasi yang sangat strategik serta terletak di dalam zon perindustrian yang maju, dibiarkan dijual pada harga yang rendah kepada sebuah syarikat asing," katanya.

Berita Harian X