Rabu, 31 Julai 2019 | 2:07pm
Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi pada paras rendah. - Foto hiasan

Saham KL rendah tengah hari

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi pada paras rendah berikutan terjejas oleh kekurangan minat untuk mengambil risiko dengan jualan kebanyakannya membabitkan kaunter berkaitan indeks.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 8.63 mata kepada 1,634.06 selepas turun naik antara 1,626.32 dan 1,642.73 sepanjang sesi dagangan pagi.

Indeks komposit terjejas teruk oleh kerugian dicatatkan saham Public Bank, Maxis, dan Hong Leong Bank yang menyaksikan penurunan sejumlah 7.234 mata.

Peniaga berkata, sentimen dalam pasaran global adalah rapuh sementara menunggu keputusan berhubung kadar faedah Amerika Syarikat (AS) ditambah dengan harapan yang suram terhadap penyelesaian perang perdagangan AS-China.

Kedudukan pasaran di Bursa secara keseluruhannya adalah negatif dengan kaunter turun mengatasi naik sebanyak 546 berbanding 198 dengan 367 kaunter tidak berubah, manakala 829 tidak diniagakan dan 74 lagi digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 1.63 bilion saham bernilai RM1.09 bilion.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank turun empat sen kepada RM8.69, Petronas Chemicals susut 10 sen kepada RM7.47, manakala IHH Healthcare dan CIMB masing-masing tidak berubah pada RM5.75 dan RM5.09.

Bagaimanapun, Tenaga melonjak 26 sen kepada RM13.88 susulan berita tentang penyusunan semula dalamannya.

Antara saham cergas, Netx tidak berubah pada 1.5 sen, KNM turun satu sen kepada 40.5 sen, sementara Eduspec menokok setengah sen kepada 4.5 sen. - BERNAMA

Berita Harian X