Selasa, 27 Ogos 2019 | 1:54pm

Bursa Malaysia rendah akhiri sesi pagi

KUALA LUMPUR: Harga saham di Bursa Malaysia rendah pada tengah hari ini berikutan sentimen lemah.

Pada jam 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.78 mata kepada 1,596.75 berbanding 1,600.53 semasa ditutup semalam.

Ia dibuka tinggi 0.87 mata kepada 1,601.4.

Peniaga berkata, minat terhadap saham telah berkurangan berikutan keadaan pasaran yang tidak menentu dan wujud sentimen berhati-hati.

“Kami turut berpendapat pemulihan pasaran saham juga sebahagian besarnya rendah,” katanya.

Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 351 berbanding 297, manakala 350 kaunter kekal tidak berubah, 980 tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 985.34 juta unit bernilai RM655.43 juta.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank, masing-masing susut dua sen kepada RM8.57 dan RM20.78 dan TNB turun enam sen kepada RM13.64.

Petronas Chemicals naik enam sen kepada RM6.86 dan IHH meningkat lapan sen kepada RM5.78.

Bagi saham aktif, Priceworth susut setengah sen kepada 5.5 sen, Greatech merosot dua sen kepada RM1.15 dan AirAsia X berkurangan 1.5 sen kepada 18 sen.

Vsolar dan MNC Wireless, masing-masing tidak berubah pada 13.5 sen dan sembilan sen.

Indeks FBM Emas susut 23.01 mata kepada 11,279.84, Indeks FBM Emas Syariah merosot 30.36 mata kepada 11,782.21 dan Indeks FBMT 100 turun 24.06 mata kepada 11,114.28.

FBM Ace menambah 16.32 mata kepada 4,529.97, bagaimanapun FBM 70 susut 20.87 mata kepada 13,976.08.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 42.381 mata kepada 15,583.52, manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.27 mata kepada 147.44 dan Indeks Perladangan meningkat 16.31 mata kepada 6,814.39.

-- BERNAMA

Berita Harian X