Selasa, 10 September 2019 | 12:24pm
Menteri Kewangan Mexico, Arturo Herrera Gutierrez. - Foto Reuters

Mexico umum perancangan bajet 2020

QUERETARO: Kerajaan Mexico telah mengeluarkan perancangan untuk bajet negara itu bagi 2020 namun ia bergantung kepada pertumbuhan ekonomi yang disifatkan banyak ahli ekonomi sebagai tidak realistik, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Bajet yang didedahkan pada Ahad itu memfokus kepada program-program sosial, meningkatkan keselamatan dan keamanan serta merombak syarikat petroleum milik kerajaan, Pemex.

Menteri Kewangan, Arturo Herrera Gutierrez, dalam satu sidang akhbar pada Isnin, berkata bajet itu adalah bertanggungjawab dan praktikal.

“(Kerajaan) membentangkan satu bajet yang realistik …yang akan memastikan komitmen untuk tidak menaikkan cukai sedia ada atau mewujudkan cukai baharu,” katanya.

Bagaimanapun bajet itu bergantung kepada harapan bahawa ekonomi terbesar di Amerika Latin akan meningkat sebanyak 2.4 peratus. Ketika ini, negara itu berdepan dengan kemelesetan yang sedikit.

Meskipun begitu, Presiden Andres Manuel Lopez Obrador (AMLO) berkata negara itu akan pulih dan pertumbuhan akan berlaku seiring dengan masa.

Bajet itu bergantung kepada pertumbuhan ekonomi yang jauh lebih tinggi berbanding jangkaan ahli ekonomi antarabangsa terhadap negara tersebut.

Tabung Kewangan Antarabangsa mengunjurkan bahawa pertumbuhan ekonomi adalah tidak melebihi 1.9 peratus pada 2020.

Bajet itu juga meramalkan bahawa Pemex akan meningkatkan pengeluaran minyak kepada 1.95 juta tong sehari. Pada Jun, Pemex melaporkan bahawa ia menghasilkan kira-kira 1.68 juta tong sehari.

Memandangkan Pemex telah bergelut selama lebih sedekad, ahli ekonomi meramalkan bahawa untuk mencapai tahap 1.95 juta adalah sukar.

Bagi membantu Pemex mencapai matlamatnya, kerajaan akan menawarkan bantuan dari segi kewangan dan potongan cukai kepada syarikat itu.

Ini merupakan bajet pertama yang diawasi sepenuhnya oleh AMLO.

Presiden, yang terkenal kerana usahanya dalam memerangi rasuah dalam kerajaan, berkata beliau akan memastikan dana bajet dibelanjakan dengan betul.

Dewan Rakyat mempunyai masa sehingga 20 Okt untuk meluluskan pelan itu. - BERNAMA

Berita Harian X