Isnin, 7 Oktober 2019 | 6:59pm

Bursa Malaysia kembali meningkat

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meningkat semula hari ini berikutan aktiviti belian saham pada harga rendah oleh pelabur selepas indeks utama berada pada paras terendah dalam tempoh empat tahun minggu lalu, kata peniaga.

Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.33 mata kepada 1,559.00 daripada 1,557.67 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Indeks dibuka tinggi 0.12 mata kepada 1,557.79, bergerak antara 1,555.55 dan 1,560.37 sepanjang hari.

Suasana pasaran, bagaimanapun, negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 416 berbanding 355, dengan 396 kaunter tidak berubah, 827 tidak diniagakan dan 29 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.16 bilion saham bernilai RM1.32 bilion daripada 2.04 bilion saham bernilai RM1.60 bilion pada Jumaat lalu.

Kenanga Research berkata, pelabur bagaimanapun, bimbang mengenai potensi kemelesetan ekonomi disebabkan pertumbuhan ekonomi yang rendah dan ketegangan perdagangan yang meningkat.

“Kami berpendapat sentimen lemah kekal utuh sehingga isyarat seterusnya mewajarkan perubahan trend,” katanya dalam nota.

Firma penyelidikan itu berkata paras sokongan utama yang perlu dilihat ialah 1,550 (paras sokongan-1) dan 1,510 (paras sokongan-2); manakala, paras halangan overhed boleh didapati pada 1,630 (paras halangan-1) dan 1,650 (paras halangan-2).

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat tiga sen kepada RM8.47, Tenaga naik 12 sen kepada RM13.64, Public Bank menokok enam sen kepada RM19.34 dan IHH menambah satu sen kepada RM5.66 manakala PChem susut 11 sen kepada RM7.20.

Bagi saham aktif, SDS Group, yang mula disenaraikan di Pasaran ACE muncul sebagai saham paling aktif hari ini, naik 2.5 sen kepada 25.5 sen, manakala Sapura Energy dan Hubline, masing-masing tidak berubah pada 26 sen dan 4.5 sen.

Indeks FBM Emas meningkat 10.03 mata kepada 11,058.55, Indeks FBMT 100 naik 10.03 mata kepada 10,884.36 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 5.32 mata kepada 11,651.94.

FBM 70 naik 15.94 mata kepada 13,822.43 dan FBM ACE menambah 52.51 mata kepada 4,561.8.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 33.42 mata kepada 15,030.81, bagaimanapun Indeks Perladangan susut 19.42 mata kepada 6,548.56 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 1.11 mata kepada 150.15.

Sementara itu, Southern Steel Bhd (SSB) dan Ann Joo Resources Bhd, yang meminta penggantungan dagangan saham pada sesi pagi, mengumumkan mereka telah memeterai Memorandum Persefahaman untuk membentuk pakatan strategik melalui syarikat usaha sama.

Pada penutup, SSB naik empat sen kepada RM1.02, dengan 1.028 juta saham diniagakan manakala Ann Joo merosot enam sen kepada RM1.17 dengan 2.79 juta saham bertukar tangan.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 1.21 bilion unit bernilai RM1.14 bilion daripada 1.20 bilion unit bernilai RM1.42 bilion pada Jumaat lalu.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 126.8 juta bernilai RM12.13 juta daripada 397.17 juta bernilai RM84.79 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 831.42 juta saham bernilai RM167.39 juta daripada 445.78 juta saham bernilai RM91.45 juta pada Jumaat.

Barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 158.39 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (158.23 juta), pembinaan (69.4 juta), teknologi (161.46 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (23.68 juta), hartanah (101.66 juta), perladangan (8.46 juta), REIT (7.05 juta), dana tertutup (sifar), tenaga (375.39 juta), penjagaan kesihatan (13.28 juta), telekomunikasi dan media (73.43 juta), pengangkutan dan logistik (44.18 juta), dan utiliti (14.35 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X