Selasa, 15 Oktober 2019 | 12:01pm

Bursa Malaysia rendah pertengahan pagi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia kekal lebih rendah pada pertengahan pagi kerana pelabur mengambil keuntungan daripada kenaikan ketara semalam dan sejajar prestasi pasaran serantau, kata peniaga.

Pada 11.04 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 1.61 mata, daripada 1,567.59 penutup Isnin.

Indeks penanda aras itu dibuka 0.56 mata lebih rendah pada 1,567.03.

Di pasaran yang meluas, kaunter turun mengatasi kaunter naik sebanyak 302 berbanding 264 dengan 339 kaunter tidak berubah, manakala 1,071 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.

Sejumlah 948.06 juta saham bertukar tangan bernilai RM487.92 juta.

Peniaga berkata, saham Asia juga bercampur-campur mengambil petunjuk prestasi lemah semalaman di Wall Street dan penyusutan perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) apabila pelabur memantau langkah seterusnya perjanjian perdagangan AS-China, isyarat daripada Sidang Kemuncak Brexit dan laporan pendapatan bank AS minggu ini.

Antara saham berwajaran tinggi, Tenaga turun enam sen kepada RM13.74, Public Bank turun dua sen kepada RM19.14, Petronas Chemicals turun tiga sen kepada RM7.25 dan IHH Healthcare turun lapan sen kepada RM5.69.

Maybank naik satu sen kepada RM8.54.

Dalam kalangan kaunter paling aktif, KNM Group naik 2.5 sen kepada 42 sen, Bumi Armada naik setengah sen kepada 42 sen dan waran KNM naik 3.5 sen kepada 16 sen.

NetX Holdings dan Green Packet tidak berubah masing-masing pada 2.5 sen dan 31.5. - BERNAMA

Berita Harian X