Rabu, 16 Oktober 2019 | 11:54am

Bursa Malaysia kekal kukuh pertengahan pagi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia kekal kukuh pada pertengahan pagi, ketika mana pelabur kekal positif akan prestasi kukuh semalaman Wall Street dan pasaran Eropah.

Pada 11.02 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.58 mata kepada 1,570.81, daripada 1,566.23 penutup Selasa.

Indeks penanda aras itu dibuka 1.87 mata lebih baik pada 1,568.10.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter naik mengatasi kaunter turun sebanyak 389 berbanding 240 dengan 341 kaunter tidak berubah, manakala 1,006 tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.

Sejumlah 1.29 bilion saham bertukar tangan bernilai RM606.55 juta.

Hong Leong Bank Bhd dalam nota penyelidikan pagi ini berkata, saham Amerika Syarikat (AS) mendapat sokongan semalaman berikutan laporan pendapatan korporat yang meyakinkan, sekali gus mengurangkan kebimbangan berhubung pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan, dan meredakan isu berkaitan pertikaian perdagangan AS-China buat sementara waktu.

"Pelabur keluar daripada pelaburan selamat berikutan pasaran kembali dalam mod untuk mengambil risiko," katanya.

Prospek Brexit yang semakin meningkat dengan kemunculan berita bahawa perunding Kesatuan Eropah (EU) dan British hampir untuk memuktamadkan draf dalam usaha saat akhir bagi menghalang penarikan diri United Kingdom daripada kesatuan itu secara keras, yang mana ia turut membantu meningkatkan sentimen, tambahnya.

Antara saham berwajaran tinggi, Maybank dan IHH Healthcare naik satu sen setiap satu masing-masing kepada RM8.52 dan RM5.64, manakala Tenaga naik enam sen kepada RM13.76.

Public Bank naik dua sen kepada RM19.28 dan Petronas Chemicals menambah tiga sen kepada RM7.32.

Antara yang paling aktif, NetX Holdings dan Sapura Energy meningkat setengah sen setiap satu masing-masing kepada 2.5 sen dan 27.5 sen, KNM Group naik satu sen kepada 45.5 sen, I-Stone meningkat dua sen kepada 24.5 sen dan waran KNM menambah 1.5 sen kepada 20 sen. - BERNAMA

Berita Harian X