Selasa, 29 Oktober 2019 | 10:20am
KUALA LUMPUR 01 JULAI 2019. Bangunan Bursa Malaysia. NSTP/ROHANIS SHUKRI.

Bursa Malaysia dibuka kukuh

KUALA LUMPUR: Urus niaga di Bursa Malaysia dibuka lebih kukuh hari ini selepas cuti hujung minggu yang panjang, dipacu peningkatan minat untuk mengambil risiko susulan perbincangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang menggalakkan serta keyakinan bahawa AS akan mengurangkan kadar faedah.

Pada jam 9.03 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.45 mata kepada 1,572.45 daripada 1,570 semasa ditutup pada Jumaat. Indeks utama dibuka 3.16 mata lebih tinggi pada 1,573.16.

Bursa Malaysia dan anak syarikatnya ditutup semalam sebagai ganti cuti umum Deepavali yang disambut pada 27 Oktober lalu.

Ahli Strategi Pasaran Asia Pasifik, Stephen Innes, berkata mata wang tempatan terus diniagakan stabil disokong retorik perbincangan perdagangan yang berlangsung dengan baik dan jangkaan Rizab Persekutuan AS akan mengurangkan lagi kadar faedah pada minggu ini.

Bagaimanapun, minat itu terbatas berikutan ekonomi serantau dijangka bakal terjejas oleh ekonomi China yang semakin perlahan.

“Sementara perbincangan perdagangan fasa pertama adalah baik untuk sentimen, namun, peniaga kekal sangsi dengan sebarang pemansuhan tarif sedia ada yang amat penting untuk mengubah aliran pasang surut ekonomi di Asia.

“Dan tanpa pemansuhan, kekangan tarif mungkin tidak memudaratkan keadaan tetapi ini juga bermakna keadaan makroekonomi tidak akan bertambah baik,” katanya.

Pada Isnin, Presiden AS, Donald Trump berkata, fasa satu urus niaga perdagangan dengan China dijangka ‘lebih awal daripada jadual’ dan ini memberi rangsangan terhadap urus niaga ekuiti global, dengan S&P 500 mencecah paras tertinggi.

“Kami mungkin akan lebih awal daripada jadual untuk menandatangani sebahagian besar urus niaga dengan China, dan kami panggil ia fasa pertama tetapi ia membabitkan bahagian yang amat besar,” kata Trump.

Di dalam negara, kedudukan pasaran secara menyeluruh di Bursa adalah positif apabila kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 192 berbanding 51 dengan 218 kaunter tidak berubah, 1,536 tidak diniagakan dan 20 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 108.86 juta saham bernilai RM41.01 juta.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM8.45, Tenaga dan Public Bank masing-masing naik enam sen kepada RM13.90 dan RM19.32 manakala Petronas Chemicals dan CIMB masing-masing naik lima sen kepada RM7.49 dan RM5.00.

Namun, IHH Healthcare susut empat sen kepada RM5.68.

Bagi saham aktif, Velesto menokok satu sen kepada 37.5 sen, Luster Industries naik setengah sen kepada 7.5 sen, IFCA meningkat 1.5 sen kepada 45.5 sen, tetapi Asia Media merosot 7.5 sen kepada enam sen.

FBM 70 naik 51.66 mata kepada 14,027.86, Indeks FBMT 100 meningkat 22.65 mata kepada 10,994.29 dan FBM Ace melonjak 36.18 mata kepada 4,907.29.

Indeks FBM Emas meningkat 24.18 mata kepada 11,184.63 dan Indeks FBM Emas Syariah naik 20.6 mata kepada 11,819.18.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 42.45 mata kepada 15,188.8, Indeks Produk & Perkhidmatan Perindustrian naik 0.64 mata kepada 153.73 tetapi Indeks Perladangan turun 14.4 mata kepada 6,621.51.

-- BERNAMA

Berita Harian X