Khamis, 7 November 2019 | 8:40pm

Bursa Malaysia ditutup tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia menutup sesi dagangan hari ini pada paras tertinggi harian selepas meningkat pada saat-saat akhir didorong pengumuman Amerika Syarikat (AS) dan China bahawa mereka bersetuju untuk membatalkan tarif tambahan yang dikenakan antara satu sama lain.

Pada 5 petang, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.38 peratus atau 6.08 mata kepada 1,609.33 daripada 1,603.25 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks utama itu dibuka pada 1,604.85 sebelum bergerak antara 1,601.18 dan 1,609.33, paras tertinggi harian.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 456 berbanding 382, manakala 585 kaunter tidak berubah, 561 kaunter tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.81 bilion saham bernilai RM1.89 bilion daripada 2.70 bilion saham bernilai RM1.72 bilion semalam.

Penganalisis berkata, bursa tempatan diniagakan dalam keadaan berhati-hati sepanjang hari ini dan melonjak pada 10 minit terakhir dagangan, sejajar dengan indeks global memandangkan pasaran memberi reaksi susulan perkembangan positif daripada isu perdagangan AS-China berkenaan.

“Disokong oleh sentimen global lebih baik, pasaran dijangka menerusikan aliran meningkat ini esok. Indeks membabitkan teknologi, komoditi serta logistik diunjurkan memperoleh manfaat secara langsung daripada perkembangan ini,” katanya.

Dari sudut teknikal, bursa tempatan dijangka melepasi penanda aras rintangan segera 1,610 dalam jangka terdekat.

“Kami menjangkakan aliran kukuh dalam dagangan serta aliran masuk besar-besaran dana asing dalam saham wajaran tinggi terpilih terutama PETRONAS dan saham berkaitan didorong kemungkinan tawaran awam awalnya dengan Saudi Aramco,” katanya.

AS dan China mengenakan tarif ke atas import barangan antara satu sama lain bernilai bilion dolar AS sejak awal 2018, menjejaskan pasaran kewangan, perniagaan dan sentimen pengguna.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, MISC mendahului kenaikan dengan 10 sen kepada RM8.30, manakala Maxis dan Sime Darby masing-masing naik tujuh sen kepada RM5.49 dan RM2.35, IHH menokok satu sen kepada RM5.55 dan Petronas Gas melonjak 18 sen kepada RM16.60.

Antara saham paling untung, United Plantation melonjak 88 sen kepada RM25.88 dan Kuala Lumpur Kepong naik 60 sen kepada RM22.92 didorong permintaan lebih baik, manakala Nestle menokok 30 sen kepada RM146.90.

Saham rugi antaranya Fraser & Neave, yang merosot 40 sen kepada RM34.90 manakala Acids Southern turun 15 sen kepada RM3.65 dan Salutica susut sembilan sen kepada 83.5 sen.

Bagi saham aktif, Sumatec tidak berubah pada setengah sen, Velesto Energy naik 1.5 sen kepada 40 sen, Bumi Armada menokok tiga sen kepada 48 sen dan DGB Asia meningkat dua sen kepada 18.5 sen.

Indeks FBM Emas meningkat 46.07 mata, Indeks FBMT 100 naik 45.92 mata kepada 11,202.05 dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 42.40 mata kepada 11,919.81.

FBM Ace menambah 29.67 mata kepada 4,986.78 dan FBM 70 menokok 72.60 mata kepada 14,087.22.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 45.83 mata kepada 15,691.41, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.46 mata kepada 154.89 dan Indeks Perladangan menambah 36.40 mata kepada 6,898.75.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.90 bilion saham bernilai RM1.69 bilion daripada 1.93 bilion saham bernilai RM1.53 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran menambah kepada 430.23 juta unit bernilai RM78.96 juta daripada 258.98 juta unit bernilai RM46.76 semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE susut kepada 475.15 juta bernilai RM121.94 juta daripada 509.96 juta saham bernilai RM134.74 juta semalam.

Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 259.70 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, barangan dan perkhidmatan perindustrian (253.95 juta), pembinaan (101.85 juta), teknologi (169.86 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (42.00 juta), hartanah (240.38 juta), perladangan (29.84 juta), REIT (9.19 juta), dana tertutup (2,000), tenaga (691.65 juta), penjagaan kesihatan (13.24 juta), telekomunikasi dan media (35.93 juta), pengangkutan dan logistik (47.66 juta) dan utiliti (12.50 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X