Jumaat, 8 November 2019 | 10:01am

Ringgit dibuka rendah sedikit

KUALA LUMPUR: Ringgit rendah sedikit semasa urus niaga dibuka pagi ini berikutan kurang minat belian, terkesan oleh ketidaktentuan yang menyelubungi rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China, kata seorang peniaga.

Pada 9.06 pagi, ringgit disebut harga pada 4.1260/1300 berbanding dolar AS daripada 4.1225/1255 semasa ditutup pada Khamis.

Strategis Pasaran Asia Pasifik Axi Trader Stephen Innes berkata pasaran masih belum pasti sekiranya Presiden AS Donald Trump akan bersetuju untuk memansuhkan beberapa daripada tarif sedia ada ke atas barangan China.

“Mata wang tempatan akan terus menguji paras 4.12 sekiranya tiada perkara berisiko besar atau negatif berlaku dalam perbincangan perdagangan AS-China,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, mata wang tempatan didagangkan lebih tinggi berbanding mata wang utama.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0365/0415 daripada 3.0382/0408 semasa urus niaga ditutup semalam dan meningkat berbanding yen kepada 3.7753/7800 daripada 3.7797/7828.

Ia mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.2862/2926 daripada 5.3036/3095 dan naik berbanding euro kepada 4.5576/5637 daripada 4.5661/5706. - BERNAMA

Berita Harian X