Selasa, 12 November 2019 | 7:52pm

Bursa Malaysia ditutup tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi semasa mengakhiri dagangan hari ini didorong belian berterusan di kaunter-kaunter perladangan, iaitu Sime Darby Plantation, KLK dan United Plantations, serta saham bermodal kecil.

Bagaimanapun momentum meningkat itu dihadkan oleh pengambilan untung dalam kaunter berkaitan kewangan, yang mengalami kenaikan pada Isnin susulan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengurangkan nisbah keperluan rizab berkanun daripada 3.5 peratus kepada tiga peratus.

Hong Leong Bank merosot 24 sen kepada RM16.96 dan Maybank susut enam sen kepada RM8.79.

Indeks itu tinggi pada kebanyakannya hari ini kecuali semasa sebelah pagi apabila ia mengalami penurunan.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran meningkat 1.58 mata kepada 1,609.73 daripada 1,608.15 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks utama itu dibuka 4.03 mata lebih tinggi kepada 1,612.18 dan bergerak antara 1,605.71 dan 1,614.21 sepanjang hari ini.

Bagi pasaran lebih meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 416 berbanding 397, manakala 429 kaunter tidak berubah, 751 kaunter tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.49 bilion saham bernilai RM1.82 bilion daripada 2.37 bilion saham bernilai RM1.64 bilion semalam.

Peniaga berkata, saham perladangan menjadi saham paling untung dengan Sime Darby melonjak 17 sen kepada RM5.15, KLK meningkat 16 sen kepada RM22.36 dan United Plantations menokok 10 sen kepada RM25.30.

“Ini selepas inventori minyak sawit bagi Oktober merosot 4.1 peratus bulan ke bulan kepada 2.3 juta tan, ditambah dengan peningkatan semula eksport.

“Bekalan rendah, pengeluaran lemah dan permintaan tinggi bagi minyak sawit telah mendorong harga komoditi itu meningkat lebih tinggi, justeru, kita akan menyaksikan keputusan kewangan akhir (suku keempat) yang baik bagi syarikat perladangan tahun ini,” katanya.

Mengenai faktor luaran, peniaga berkata sentimen masih berhati-hati di tengah-tengah ketidaktentuan berhubung rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China selain situasi politik domestik Hong Kong.

Antara saham berwajaran tinggi, Maybank turun enam sen kepada RM8.79, Tenaga susut 12 sen kepada RM13.68 dan Public Bank kurang dua sen kepada RM19.98 namun Petronas Chemicals menambah sembilan sen pada RM7.80.

Bagi saham aktif, Sapura Energy tidak berubah pada 29 sen, Bumi Armada naik 1.5 sen kepada 49.5 sen manakala Velesto Energy dan DGB masing-masing menokok setengah sen kepada 39 sen dan 17.5 sen.

Kalangan saham paling rugi pula, Fraser & Neave mendahului senarai itu apabila merosot 40 sen kepada RM34.60 serta Shangri-La turun 22 sen kepada RM5.07.

Malaysia Airports kurang 15 sen kepada RM8.20 selepas Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) semalam mengesahkan bahawa ia telah diturunkan penarafan sebagai Pengawal Selia Penerbangan Kategori 2 berbanding Kategori 1 sebelum ini, namun AirAsia X meningkat satu sen kepada 17.5 sen.

Indeks FBM Emas menambah 11.01 mata kepada 11,401.00, Indeks FBMT 100 naik 8.61 mata kepada 11,213.62, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 54.48 mata kepada 11,939.75 dan FBM 70 menokok 0.92 mata kepada 14,137.95 manakala FBM Ace kurang 1.16 mata kepada 4,883.50.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menyusut 75.48 mata kepada 15,701.91, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.93 mata kepada 156.38 dan Indeks Perladangan melonjak 100.49 mata kepada 6,968.69.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 1.7 bilion saham bernilai RM1.63 bilion daripada 1.61 bilion saham bernilai RM1.47 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran susut kepada 329.30 juta unit bernilai RM60.34 juta daripada 383.16 juta unit bernilai RM73.16 juta.

Pasaran ACE mencatatkan jumlah dagangan sebanyak 456.54 juta unit bernilai RM125.23 juta berbanding 380.56 juta bernilai RM91.58 juta semalam.

Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 228.72 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, barangan dan perkhidmatan perindustrian (200.15 juta), pembinaan (85.51 juta), teknologi (105.34 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (38.42 juta), hartanah (149.01 juta), perladangan (88.95 juta), REIT (8.1 juta), dana tertutup (10,000), tenaga (688.89 juta), penjagaan kesihatan (16.03 juta), telekomunikasi dan media (55.76 juta), telekomunikasi dan media (55.86 juta), pengangkutan dan logistik (26.73 juta) serta utiliti (8.86 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X