Rabu, 13 November 2019 | 1:41pm

Kenanga kekalkan saranan 'berprestasi tinggi' ke atas Kossan Rubber

KUALA LUMPUR: Kenanga Research mengekalkan saranan ‘berprestasi tinggi’ ke atas Kossan Rubber Industries Bhd, atas keyakinan bahawa syarikat itu mempunyai prospek pendapatan yang baik, disokong penggunaan kilang 16, 17 dan 18 serta peningkatan margin hasil daripada kecekapan operasi yang lebih baik di kilang baharu.

Ia berkata, ketiga-tiga kilang itu dijangka meningkatkan pendapatan dalam tempoh dua tahun akan datang.

"Kilang 16 dan 17, yang beroperasi sepenuhnya pada Ogos 2018 dan pada akhir 2018, dijangka menyokong pendapatan pada suku seterusnya.

"Kilang 18 (kapasiti pengeluaran sarung tangan getah sebanyak 2.5 bilion keping) dengan enam barisan pengeluaran, beroperasi ketika ini, manakala dua lagi (barisan pengeluaran) dijangka beroperasi sepenuhnya pada akhir November 2019.

"Kilang 19 (3 ​​bilion keping) kini berjalan mengikut jadual dan dijangkakan beroperasi sepenuhnya paling awal pada separuh pertama 2020,” katanya dalam satu nota hari ini.

Firma penyelidikan itu berkata apabila siap, ketiga-tiga kilang baharu itu akan menambah tujuh bilion sarung tangan setahun, menjadikan kapasiti pengeluaran kumpulan itu kepad 32 bilion (+28 peratus) keping sarung tangan setahun.

Kumpulan itu juga menjangkakan pembinaan kilang di Bidor, Perak, mengambil masa lapan tahun untuk disiapkan.

Kilang bernilai RM1.5 bilion (perbelanjaan modal sebanyak RM190 juta setahun) adalah bagi projek pembuatan sarung tangan bersepadu, tertakluk kepada semua kelulusan berkaitan yang diperoleh.

Kenanga menetapkan harga sasaran RM5.25 untuk syarikat itu.

Pada 11.03 pagi, saham Kossan Rubber naik dua sen kepada RM4.21 dengan 58,700 saham diurusniagakan. - BERNAMA

Berita Harian X