Rabu, 13 November 2019 | 2:10pm
Bursa Malaysia Bhd menjangkakan 40 penyenaraian baharu akan dilakukan tahun depan. - NSTP/Rohanis Shukri

Bursa Malaysia jangka 40 penyenaraian baharu

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Bhd menjangkakan 40 penyenaraian baharu akan dilakukan tahun depan, termasuk 30 syarikat kecil dan sederhana (PKS).

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Muhamad Umar Swift Muhamad Umar, berkata unjuran itu adalah bersandarkan kepada kedudukan asas negara yang kukuh, selain ketidaktentuan semasa dunia yang dijangkakan berakhir.

“Kami mahu melihat lebih banyak syarikat Malaysia memanfaatkan kedudukan tidak menentu ini, yang dijangkakan berakhir,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pada forum Penyenaraian di Bursa: Manfaatkan Potensi Perniagaan Anda menerusi Penyenaraian, di sini, hari ini.

Muhamad Umar berkata, pengurangan cukai sehingga RM1.5 juta kepada PKS yang layak di Pasaran E Market atau LEAP Market dalam Belanjawan 2020, juga akan menggalakkan proses penyenaraoan di bursa tempatan.

Beliau berkata, sehingga 8 November 2019, bursa saham itu menerima 28 penyenaraia baharu, melepasi 21 penyenaraian baharu pada 2018.

"Bursa Malaysia juga menduduki tangga kedua di ASEAN dari segi dana ekuiti yang dikumpul, permodalan pasaran dan bilangan tawaran awam permulaan (IPO) pada September 2019," katanya.

Menempatkan lebih 900 syarikat merentas 60 aktiviti ekonomi, Bursa Malaysia merupakan bursa terbesar di ASEAN dari segi bilangan syarikat yang disenaraikan, katanya.

Forum sehari anjuran bersama oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Bursa Malaysia itu bertujuan untuk menggalakkan syarikat tempatan yang mempunyai rekod cemerlang untuk menyenaraikan syarikat mereka di Bursa Malaysia bagi memacu lebih banyak pertumbuhan pelaburan domestik yang diterajui oleh sektor swasta negara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud berkata, MIDA, melalui unit Penyelarasan Pelaburan (ICP), akan terus bekerjasama dengan syarikat penasihat ekuiti dan korporat serta pengawal selia tempatan dan penyedia teknologi untuk memudahkan syarikat yang merancang mengembangkan perniagaan dan menarik pelaburan.

"Pasukan ini membantu lebih 200 syarikat dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan sektor utama, dalam menjalankan padanan perniagaan dengan perniagaan, serta meningkatkan modal melalui hutang dan ekuiti, penggabungan dan pengambilalihan, penjualan dan IPO," katanya.

Pada acara itu, Direktori Industri Perindustrian Malaysia turut dilancarkan.

— BERNAMA

Berita Harian X