Khamis, 14 November 2019 | 7:38am
Wall Street Journal melaporkan rundingan perdagangan AS-China berhadapan masalah berkaitan pembelian hasil ladang, perkembangan terbaru dalam pertikaian antara kedua-dua negara yang mengganggu pasaran lebih dari setahun. - Foto Reuters

Disney lonjak Dow, S&P 500

NEW YORK: Dow Jones Industrial Average dan S&P 500 mencatat rekod penutupan tertinggi pada Rabu dibantu lonjakan besar dalam saham Walt Disney, tetapi Nasdaq susut kerana sahamnya terkesan oleh ketidakpastian baharu berkaitan hubungan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China.

Wall Street Journal melaporkan rundingan perdagangan AS-China berhadapan masalah berkaitan pembelian hasil ladang, perkembangan terbaru dalam pertikaian antara kedua-dua negara yang mengganggu pasaran lebih dari setahun.

Ketiga-tiga indeks utama itu melonjak lebih tinggi pada awal dagangan selepas Pengerusi Rizab Persekutuan Jerome Powell berkata, bank pusat AS melihat "pengembangan yang mampan" untuk kemakmuran ekonomi negara.

Saham baru-baru ini naik ke paras tertinggi, didorong oleh pemotongan kadar faedah Rizab Persekutuan, pendapatan suku ketiga melebihi jangkaan yang rendah dan menandakan ekonomi sudah berada di dasarnya dan bersedia untuk naik semula.

Tetapi persoalan berhubung perjanjian awal untuk membantu menyelesaikan pertikaian perdagangan AS-China tetap adalah sesuatu yang perlu diambil kira.

Dow Jones Industrial Average menokok 92.1 mata atau 0.33 peratus kepada 27,783.59.

S&P 500 naik 2.2 mata atau 0.07 peratus kepada 3,094.04.

Nasdaq Composite turun 3.99 mata atau 0.05 peratus kepada 8,482.10.

Antara sektor S&P 500, kumpulan defensif tradisional seperti utiliti, harta tanah dan barangan pengguna berakhir dengan positif, sementara sektor kitaran, seperti kewangan, tenaga dan bahan, yang dikenali untuk menjejaki kesihatan ekonomi, tercicir.

Saham Walt Disney Co melonjak 7.3 peratus selepas syarikat media itu mengatakan perkhidmatan penstriman barunya, Disney+, telah mencecah 10 juta pendaftaran sejak pelancaran pada hari sebelumnya.

Kira-kira 6.8 bilion saham bertukar tangan di bursa AS, hampir sama purata dagangan harian sepanjang 20 sesi sebelumnya. - Reuters

Berita Harian X