Ahad, 22 Disember 2019 | 3:49pm

Bank Muamalat Lancar DuitNow QR

KUALA LUMPUR: Pelanggan dan peniaga Bank Muamalat Malaysia Bhd kini boleh menggunakan pilihan pembayaran DuitNow QR, satu langkah peralihan kepada transformasi digital dan bagi memastikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan runcit dan korporatnya.

“Bank Muamalat adalah bank Islam pertama yang memperkenalkan keupayaan Pembayaran QR dinamik dan statik dengan aplikasi peniaga yang tersendiri,” kata Ketua Pegawai Eksekutinya Khairul Kamarudin.

DuitNow QR diwujudkan selaras dengan Rangka Kerja Pindahan Kredit Saling Boleh Kendali (ICTF) Bank Negara Malaysia (BNM) di mana Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) dipertanggungjawabkan membentuk standard QR nasional bagi memastikan kesalingbolehoperasian antara e-dompet dan bank berlesen.

“Ekosistem DuitNow QR terus berkembang dengan penyertaan Bank Muamalat yang memiliki sejumlah 3,000 peniaga sedia adanya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Peter Schiesser dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sebaik sahaja semua pihak saling berhubung, 22 juta pelanggan bank dan berjuta-juta pengguna e-dompet di Malaysia akan dapat membuat pembayaran DuitNow QR di peniaga Bank Muamalat manakala pelanggan runcit bank itu akan dapat membuat pembayaran DuitNow QR di peniaga semua bank yang menyertai dan e-Dompet.

Sebelum ini, Bank Muamalat melancarkan e-Derma menerusi penyelesaian QR sendirinya bagi sumbangan derma kepada masjid pada pertengahan 2018 bermula dengan Masjid Jamek di ibu kota.

Kini, e-Derma telah berkembang ke hampir 600 masjid di seluruh negara menyumbang 20 peratus daripada jumlah 3,000 peniaga QR Bank Muamalat yang akan beralih kepada standard DuitNow QR.

Penawaran terbaharu Bank Muamalat adalah e-wakaf menerusi QR yang dilancarkan pada September 2019 untuk memudahkan kepada mereka yang mahu beramal dan melaksanakan wakaf kepada mereka yang memerlukan.

Ini adalah menerusi kerjasama pengurusan waqaf tunai antara Bank Muamalat dengan empat negeri, iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Kedah. - BERNAMA

Berita Harian X