Jumaat, 14 Februari 2020 | 8:23pm
BURSA Malaysia

Bursa Malaysia ditutup tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini berikutan sentimen pasaran yang meningkat berikutan berita bahawa kerajaan akan memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi untuk menangani penularan Covid-19, pada 27 Februari ini.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.30 mata kepada paras tertinggi harian pada 1,544.46 daripada 1,539.16 semasa ditutup semalam.

Selepas dibuka rendah 0.44 mata kepada 1,538.72 pagi ini, indeks tempatan merosot kepada paras terendah harian pada 1,534.97.

Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 465 berbanding 330, dengan 427 kaunter tidak berubah, 756 tidak diniagakan dan 33 yang lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 2.67 bilion saham bernilai RM2.26 bilion daripada 2.73 bilion saham bernilai RM2.30 bilion semalam.

Dalam kenyataan hari ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi pada 27 Februari ini yang bertujuan untuk mengurangkan impak ekonomi luaran akibat Covid-19 terhadap Malaysia.

Lim berkata, bantuan akan disalurkan kepada sektor yang terkesan bagi membolehkan ekonomi negara bangkit semula dengan sebaik mungkin dan menerima manfaat daripada pemulihan semula ekonomi yang dijangkakan berlaku setelah Covid-19 berakhir.

“Kerajaan akan membantu syarikat-syarikat yang terkesan, tetapi penekanan harus diletakkan terhadap usaha meneroka ruang pendapatan alternatif, seperti peralihan kepada penggalakan pelancongan domestik, dan mendapatkan sumber daripada pasaran lain.

“Ini juga membabitkan langkah mengekalkan daya tahan pasaran tenaga kerja tempatan selain memastikan infrastruktur fizikal dan perkhidmatan juga perlu kekal tersedia sewaktu kekurangan permintaan dalam jangka masa pendek,” kata Lim.

Mengenai saham wajaran tinggi, Maybank naik satu sen kepada RM8.47, Tenaga meningkat 10 sen kepada RM12.68, Public Bank susut 18 sen kepada RM17.62 dan Petronas Chemicals tidak berubah pada RM6.50.

Daripada saham aktif, MYEG meningkat dua sen kepada RM1.37, manakala Bumi Armada dan Ekovest, masing-masing naik 1.5 sen kepada 39.5 sen dan 76 sen.

Indeks FBM Emas meningkat 42.19 mata kepada 11,066.08, Indeks FBMT 100 naik 40.05 mata kepada 10,853.00 dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 71.75 mata kepada 11,899.03.

FBM 70 naik 63.52 mata kepada 14,071.02 dan FBM Ace meningkat 5.65 mata kepada 5,619.81.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.40 mata kepada 146.71, Indeks Perladangan meningkat 43.96 mata kepada 7,335.11, bagaimanapun Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 3.50 mata kepada 14,572.96.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 1.77 bilion saham bernilai RM2.02 bilion daripada 1.68 bilion saham bernilai RM2.05 bilion semalam.

Jumlah dagangan waran susut kepada 357.40 juta unit bernilai RM56.48 juta daripada 385.82 juta unit bernilai RM62.42 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE merosot kepada 537.41 juta saham bernilai RM177.27 juta daripada 660.45 juta saham bernilai RM184.52 juta.

Barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 261.90 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (228.48 juta), pembinaan (211.56 juta), teknologi (225.51 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (36.24 juta), hartanah (161.81 juta), perladangan (50.41 juta), REIT (21.38 juta), dana tertutup (sifar), tenaga (384.12 juta), penjagaan kesihatan (43.23 juta), telekomunikasi dan media (37.89 juta), pengangkutan dan logistik (82.63 juta) dan utiliti (34.21 juta). -BERNAMA

Berita Harian X