Khamis, 20 Februari 2020 | 3:56pm
Guarana adalah pokok herba yang berasal dari Venezuela dan utara Brazil yang mana bijinya boleh dijadikan perangsang sistem saraf pusat untuk kesihatan tubuh, dan mempunyai dua kali lebih kafein dari biji kopi.

Guarana berpotensi besar alternatif sawit, getah

KUALA LUMPUR: Malaysia berpotensi menjadi pengeluar tunggal produk guarana di Asia Tenggara jika ia dibangunkan sebagai tanaman alternatif bagi komoditi getah dan sawit.

Pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Tan Sri Dr Kamal Salih berkata, kajian pihaknya juga mendapati guarana mampu menyumbang sebanyak lima peratus atau RM84 bilion daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara yang berjumlah RM1.34 trilion.

Beliau berkata, anggaran itu berdasarkan kepada perancangan MIER dan rakan kerjasamanya membangunkan 700,000 ekar tanaman guarana di seluruh negara.

“Lantaran itu MIER akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan dan ia dijangka dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Ini kerana guarana mampu memberikan pendapatan yang tinggi terutamanya kepada pekebun kecil berbanding tanaman komoditi lain ketika ini di Malaysia.

“Minyak sawit menyumbang sekitar 2.8 peratus atau RM38 bilion kepada KDNK, tetapi guarana mampu menyumbang lebih dan ini adalah peluang besar kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya selepas pelancaran Projek Guarana Nasional di sini, hari ini.

Majlis dilancarkan oleh Undang Luak Johol, Datuk Muhamad Abdullah.

Undang Luak Johol, Datuk Muhamad Abdullah (dua dari kiri) bersama Tan Sri Dr Kamal Salih (tengah) menyiram anak pokok guarana sebagai simbolik untuk permulaan penanaman pokok itu sebagai tanaman kontan ketiga negara. - NSTP/Supian Ahmad

Mengulas lanjut, Kamal Salih berkata, Guarana adalah tanaman serba boleh dan mapan untuk Malaysia.

Beliau berkata, guarana bukan tanaman bermusim tetapi tanaman sepanjang tahun dan pihaknya percaya tanaman ini boleh membantu menyokong sektor pertanian dan perladangan.

Sebelum dilaporkan guarana mampu menjana pendapatan kerana nilai yang tinggi mencecah AS$1,600 (RM6,700) sekilo bagi ekstrak 100 peratus.

Guarana adalah pokok herba yang berasal dari Venezuela dan utara Brazil yang mana bijinya boleh dijadikan perangsang sistem saraf pusat untuk kesihatan tubuh, dan mempunyai dua kali lebih kafein dari biji kopi.

Ia boleh digunakan sebagai pemanis atau minuman ringan berkarbonat dan minuman tenaga, dalam ramuan herba, rempah ratus ataupun dalam kapsul-kapsul. Secara amnya, Amerika Selatan memperoleh kebanyakan kafein daripada guarana.

Kamal Salih berkata, yang paling penting adalah ia berupaya meningkatkan taraf pendapatan golongan B40, sekali gus mengubah ekonomi negara.

“Ia adalah pelaburan swasta sepenuhnya tetapi kami mahu kerajaan menyokong inisiatif ini. Ia perlu dilihat dari sudut pandang yang besar dan jangka masa panjang.

“Ini antara projek berimpak tinggi dari MIER,” katanya.

Berita Harian X