Jumaat, 28 Februari 2020 | 10:07pm

Harga sawit menjunam kepada RM2,319 satu tan

KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah mencatat kejatuhan harian terbesar sejak krisis kewangan global susulan beberapa pengeluar terbesar komoditi itu memberi amaran mengenai kesan buruk terhadap permintaan yang bakal dihadapi ekoran penularan COVID-19.

Harga komoditi itu susut 5.57 peratus hari ini atau RM137 untuk ditutup pada RM2,319 satu tan.

Sime Darby Plantation Bhd berkata, permintaan dari China secara umumnya ‘kering’, manakala Golden Agri-Resources Ltd pula berkata, penghantaran komoditi itu ke negara terjejas ekoran COVID-19 susut sehingga 20 peratus ekoran permintaan lemah sektor makanan.

Kontrak hadapan minyak sawit susut lebih 11 peratus minggu ini, kejatuhan terburuk sejak Oktober 2008.

Kejatuhan itu menyebabkan penanda arasnya berada dalam aliran penurunan, susut kira-kira 24 peratus tahun ini dan hampir separuh daripada kenaikan pada suku keempat tahun lalu.

“Sentimen keseluruhan adalah bearis,” kata Ketua penyelidik Sunvin Group, Anilkumar Bagani,

Harga bahan api sedang menyusut susulan permintaan terjejas ekoran COVID-19 dan ia menyebabkan harga minyak sayuran juga jatuh setelah tidak berdaya saing untuk menjadi bahan biofuel, katanya.

Harga minyak sawit juga tertekan susulan eksport lebih rendah oleh Malaysia, pengeluar kedua terbesar di dunia serta jangkaan pengeluaran bakal meningkat. - Bloomberg

Berita Harian X