Isnin, 2 March 2020 | 3:05pm

Jualan PROTON melambung 80 peratus

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd (PROTON) mencatatkan peningkatan jualan pada Februari 2020 sebanyak 80 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ia menjadikan syarikat automotif itu merekodkan hasil jualan kukuh dalam bulan kedua berturut-turut untuk 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong berkata, sebanyak 9,974 unit telah didaftarkan, memperlihatkan peningkatan 17.3 peratus berbanding Januari 2020.

Beliau berkata, hasil daripada peningkatan ini, penguasaan pasaran PROTON untuk bulan berkenaan dianggarkan adalah 23.8 peratus, rekod tertinggi berbanding Ogos 2013.

“Tiga model daripada rangkaian semasa PROTON menjadi model paling popular pada bulan Februari dalam segmen masing-masing.

“Persona kembali menguasai carta bagi Sedan segmen B dengan kutipan jualan sebanyak 2,653 unit atau hampir dua kali ganda berbanding pesaing terdekatnya.

“Selain itu, dengan jualan sebanyak 1,973 unit, Proton X70 menjadi SUV paling popular di Malaysia untuk bulan kedua berturut-turut di mana pelanggan yang menempah awal Proton X70 2020 sudah mula menerima kereta mereka.

“Sehingga kini, lebih daripada 7,000 tempahan diterima, membuktikan bahawa permintaan SUV pintar itu di Malaysia kekal kukuh.” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Exora turut menjadi pemimpin segmen yang ketiga pada Februari, kekal mendominasi pasaran MPV bagi segmen C.

Model PROTON yang lain iaitu Saga dan Iriz turut mencatat jualan terbaik bagi bulan tersebut. Saga kekal menjadi model terlaris syarikat dengan mencatat jualan sebanyak 3,934 unit dan tempahan yang diterima adalah melebihi keluaran.

Sementara itu, Iriz berada di kedudukan kedua untuk kategori hatchback segmen B dengan jualan yang kekal kukuh selepas versi terbaharu model itu dilancarkan pada 2019.

“PROTON masih mencatat jualan yang kukuh bagi bulan Februari meskipun rekod Jumlah Keseluruhan Industri

(TIV) menurun berbanding Januari.

“Dengan mengekalkan pertumbuhan jualan, pegangan pasaran kini mencatatkan yang tertinggi dalam tempoh berbanding 77 bulan yang lalu.

“Tempahan yang diterima untuk Proton X70 2020 juga amat menggalakkan sekali gus menaikkan semangat kami untuk terus melaksanakan perancangan pada sepanjang tahun ini," katanya.

Berita Harian X