Isnin, 23 March 2020 | 10:55pm
SC dan Bursa Malaysia memantau perkembangan yang berterusan di peringkat global dan domestik. - Foto hiasan
SC dan Bursa Malaysia memantau perkembangan yang berterusan di peringkat global dan domestik. - Foto hiasan

COVID-19: SC, Bursa gantung jualan singkat sehingga 30 April

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) menggantung sementara jualan pendek atau ‘short selling’ sehingga 30 April ini.

SC dan Bursa Malaysia dalam satu kenyataan bersama berkata, penggantungan itu diperkenalkan sebagai langkah proaktif untuk mengurangkan potensi risiko yang timbul daripada ketidaktentuan dan ketidakpastian ketara pasaran global.

“Ia membabitkan jualan singkat intra hari atau 'intraday short-selling' (IDSS) dan jualan dikawal selia atau ‘regulated short selling’ (RSS), serta urus niaga harian oleh pedagang proprietari harian.

“Walau bagaimanapun, penggantungan itu tidak membabitkan jualan singkat yang dibenarkan atau ‘permitted short-selling’ (PSS).

“SC dan Bursa Malaysia memantau perkembangan yang berterusan di peringkat global dan domestik,” kata kenyataan itu.

Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar, berkata pihaknya akan terus memerhati aktiviti dagangan dalam persekitaran global dan pasaran yang sangat tidak menentu.

Katanya, pengawal selia pasaran modal itu juga akan menilai keadaan dan mempertimbangkan langkah tambahan untuk pencegahan jika perlu, dan sewajarnya untuk menyokong pasaran yang teratur.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift pula berkata, ia adalah langkah jangka pendek untuk menyediakan kestabilan dan keyakinan.

“Kami tetap komited untuk memastikan persekitaran perdagangan yang kondusif di pasaran,” katanya.

Di sebalik penggantungan sementara ini, SC dan Bursa Malaysia mengulangi keperluan untuk pasaran tetap beroperasi seperti biasa bagi memastikan akses pasaran modal Malaysia yang berterusan dan boleh dipercayai, yang penting untuk keyakinan pasaran dalam masa terdekat dan jangka panjang.

Dalam satu kenyataan minggu lalu, kedua-dua pengawal selia menyatakan pasaran yang lebih luas akan meneruskan dagangan bagi membolehkan pelabur menguruskan risiko dan peluang mereka dalam tempoh ini.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X