Khamis, 26 March 2020 | 9:19pm

Keyakinan pasaran lonjak Bursa Malaysia, naik 3.59 mata

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan aliran meningkat untuk hari ketiga berturut-turut, didorong oleh keyakinan pasaran mengenai pakej rangsangan yang kedua esok.

Pada penutup, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 3.59 mata kepada 1,328.09.

Indeks berada antara 1,309.21 dan 1,336.21 sepanjang hari dagangan.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 540 berbanding 295, manakala 334 kaunter tidak berubah, 850 tidak diniagakan dan 26 yang lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 3.52 bilion saham bernilai RM2.26 bilion berbanding 4.32 bilion saham bernilai RM2.83 bilion semalam.

Penganalisis berkata, pasaran ditutup tinggi berikutan pelabur menunggu pengumuman mengenai langkah kerajaan untuk meningkatkan ekonomi tempatan esok berikutan krisis semasa.

“Pakej rangsangan pertama bernilai RM20 bilion tidak dapat menterjemahkan kepada keyakinan pasaran berikutan politik tempatan yang tidak stabil.

“Bagaimanapun, dengan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penting bagi pelabur untuk menyaksikan langkah kerajaan yang akan datang dalam menangani COVID-19,” katanya.

Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan moratorium selama enam bulan ke atas pembayaran balik pinjaman dan penstrukturan semula baki kad kredit yang tertunggak untuk mengurangkan impak kewangan daripada pandemik itu.

Sementara itu, di Amerika Syarikat (AS), Bloomberg melaporkan Senat AS telah meluluskan pakej menyelamat ekonomi bernilai AS$2 trilion dalam sejarah sebagai tindak balas kepada ekonomi dan krisis kesihatan disebabkan COVID-19.

Mengenai prestasi saham wajaran tinggi; indeks telekomunikasi, pengguna dan penjagaan kesihatan kekal sebagai penyumbang utama kepada prestasi positif indeks.

Digi naik 14 sen kepada RM4.29, Petronas Chemicals menambah 14 sen kepada RM4.65, Nestle meningkat RM1.50 kepada RM137.00 dan Hartalega menokok sembilan sen kepada RM6.78.

Bagi kaunter paling untung, saham barangan pengguna dan perkhidmatan terus menguasai carta dengan F&N naik 32 sen kepada RM30.02, Panasonic Manufacturing menambah 60 sen kepada RM25.00, Dutchlady meningkat 96 sen kepada RM41.00 dan Nestle menokok RM1.50 kepada RM137.00.

Prestasi indeks secara keseluruhan kebanyakannya positif, dengan Indeks FBM Emas melonjak 76.37 mata kepada 9,064.44 manakala FBM 70 naik 296.18 mata kepada 10,328.56 dan Indeks FBM Emas Shariah meningkat 135.51 mata kepada 9,904.37.

Indeks FBMT 100 naik 74.43 mata kepada 9,003.66 dan FBM Ace meningkat 21.15 mata kepada 3,679.42.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 1.58 mata kepada 102.56, Indeks Perladangan naik 42.26 mata kepada 6,056.07 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 44.97 mata kepada 12,103.45.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 2.72 bilion unit bernilai RM2.07 bilion daripada 3.22 bilion bernilai RM2.58 bilion semalam.

Jumlah dagangan waran susut kepada 351.46 juta bernilai RM94.12 juta daripada 397.21 juta bernilai RM87.36 juta semasa ditutup pada Rabu.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE merosot kepada 452.61 juta unit bernilai RM98.61 juta daripada 704.53 juta bernilai RM156.27 juta semalam.

Barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 397.52 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (384.42 juta), pembinaan (206.05 juta), teknologi (299.23 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (74.16 juta), hartanah (324.65 juta), perladangan (70.83 juta), REIT (12.48 juta), dana tertutup (64,200), tenaga (744.34 juta), penjagaan kesihatan (46.11 juta), telekomunikasi dan media (53.07 juta), pengangkutan dan logistik (61.10 juta), dan utiliti (46.83 juta). - Bernama

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X