Isnin, 25 Mei 2020 | 1:20pm
Pencari minyak syal di AS mengurangkan jumlah pelantar aktif bagi sokong harga minyak - Gambar fail AFP
Pencari minyak syal di AS mengurangkan jumlah pelantar aktif bagi sokong harga minyak - Gambar fail AFP

'Perang mulut' AS-China jejas pemulihan harga minyak

SINGAPURA: Harga minyak berada kira-kira AS$33 satu tong apabila meningkatnya 'perang mulut' antara Amerika Syarikat (AS) dan China menambah kepada suasana hati-hati kepada prospek pemulihan permintaan global.

China memberi amaran bahawa ada pihak di AS mendesak kedua-dua negara ke arah Perang Dingin, sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa kemerosotan hubungan antara Beijing dan Washington akan menjejaskan pemulihan pasaran daripada kejatuhan permintaan bersejarah.

Niaga hadapan menokok di New York selepas susut pada awalnya, dengan jumlah dagangan lengang berikutan cuti di AS, United Kingdom (UK) dan Singapura.

Namun, terdapat beberapa isyarat pasaran minyak sedang menempatkan diri untuk pemulihan.

Pencari minyak syal mengurangkan jumlah pelantar aktif ke tahap terendah sejak 2009, sekali gus terus mengurangkan lagi output.

Ia dibuat selepas OPEC+ mengurangkan output sebanyak hampir 10 juta tong sehari dalam usaha mengurangkan lambakan.

Harga minyak melonjak kira-kira 75 peratus bulan ini apabila permintaan di China dan India kembali selepas sekatan perintah berkurung dilonggarkan, manakala inventori minyak mentah AS mula berkurangan.

Namun, pemulihan dijangka mengambil masa panjang dan tidak menentu, dengan risiko gelombang jangkitan kedua COVID-19 berkemungkinan merumitkan lantunan semula.

"Ketegangan yang memuncak antara AS dan China akan terus menyuramkan landskap pasaran," kata Ketua Ahli Strategi Pasaran di AxiCorp Ltd, Stephen Innes.

Bagaimanapun, kesan keseluruhannya mungkin terhad jika tiada 'tindak balas mendesak' daripada Beijing, katanya.

AS wajar melupakan 'harapannya' untuk mengubah China, kata Menteri Luarnya, Wang Yi semasa taklimat media tahunan di luar mesyuarat National People's Congress di Beijing.

Beliau juga memberi amaran kepada AS supaya tidak melintasi 'sempadan merah' China di Taiwan.

Syarikat minyak AS mengurangkan jumlah pelantar aktif sebanyak 21 kepada 237 minggu lalu, penurunan buat minggu ke-10 berturut-turut, menurut data Baker Hughes.

Walaupun penggunaan bahan api meningkat di beberapa negara apabila sekatan perintah berkurung dilonggarkan, harga petrol termurah di AS dalam tempoh hampir dua dekad tidak mencukupi untuk menarik rakyatnya keluar memandu semasa cuti Hari Memorial.

-Bloomberg

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X