Rabu, 27 Mei 2020 | 8:20pm
Ringgit diniagakan lebih rendah berbanding mata wang utama lain
Ringgit diniagakan lebih rendah berbanding mata wang utama lain

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini di sebalik sentimen risiko global dan penyusutan harga minyak mentah, kata peniaga.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan disebut harga pada 4.3450/3510 berbanding mata wang negara maju itu, daripada 4.3610/3690 ketika ditutup Jumaat lalu.

Setakat ini, harga minyak mentah Brent jatuh 0.88 peratus kepada AS$35.85 setong.

Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes, berkata unit tempatan masih terperangkap dalam situasi kestabilan harga minyak dan ketegangan perdagangan AS-China yang meningkat.

"Malangnya, ketegangan perdagangan AS-China akan menjadi kebimbangan yang ketara pada masa akan datang berikutan Presiden AS, Donald Trump telah menjelaskan kempen pemilihannya akan dikaitkan dengan retorik anti-China," katanya.

Menurut Innes, Trump dan pentadbirannya berpendapat China kurang telus dalam menangani krisis COVID-19.

Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0705/0753 daripada 3.0638/0698 pada Jumaat lepas, namun meningkat berbanding yen Jepun kepada 4.0355/0422 daripada 4.0567/0653.

Ringgit susut berbanding euro kepada 4.7899/7978 daripada 4.7562/7667 dan turun berbanding pound Britain kepada 5.3609/3700 daripada 5.3078/3118.

-Bernama

Berita Harian X