X
Jumaat, 29 Mei 2020 | 10:51am
Bursa Malaysia
Bursa Malaysia

Bursa Malaysia dibuka lebih rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia merosot daripada peningkatan semalam untuk dibuka rendah pagi ini berikutan jualan di kaunter berkaitan indeks dalam persekitaran sentimen pasaran yang bercampur-campur.

Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 6.09 mata kepada 1,451.41 daripada 1,457.5 semasa ditutup pada Khamis.

Indeks dibuka rendah 6.96 mata kepada 1,450.54.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung dan kaunter rugi, masing-masing sama sebanyak 203, manakala 228 kaunter tidak berubah, 1,266 tidak diniagakan dan 50 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 383.82 juta unit bernilai RM212.87 juta.

Bursa utama Asia mencatatkan corak aliran penurunan berikutan harapan untuk pemulihan ekonomi global semakin jauh dengan ketegangan yang meningkat antara Amerika Syarikat dan China.

Bagaimanapun, Malacca Securities Sdn Bhd menjangka peningkatan yang berpanjangan di FBM KLCI berikutan penggiat pasaran terus menggalakkan sektor penjagaan kesihatan tetapi peningkatan dijangka dihadkan oleh ketegangan yang meningkat antara Washington dan Beijing.

"Ia mengenai dua situasi untuk saham berharga rendah dan saham pasaran lebih luas berikutan aktiviti pengambilan untung yang sederhana.

"Gabungan prospek pendapatan lemah dan situasi pasaran yang meningkat selepas pemulihan baru-baru ini menunjukkan kestabilan dalam masa terdekat," menurut firma broker itu dalam nota hari ini.

Malacca Securities berkata, paras halangan kini pada 1,480, diikuti paras psikologi 1,500, manakala risiko penurunan pada paras 1,430.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank susut 12 sen kepada RM15.06, Petronas Chemicals merosot tiga sen kepada RM6.16, IHH berkurangan satu sen kepada RM5.45 dan Maxis turun enam sen kepada RM5.33.

Tenaga meningkat empat sen kepada RM11.94 manakala Maybank tidak berubah pada RM7.41.

Daripada saham paling aktif, Eduspec susut setengah sen kepada 2.5 sen, manakala Key Alliance dan Lambo, masing-masing menambah setengah sen kepada lapan sen dan 2.5 sen, Careplus naik dua sen kepada RM1.13, Gadang meningkat 3.5 sen kepada 50 sen, dan JCY menokok satu sen kepada 32.5 sen.

Indeks FBM Emas susut 32.44 mata kepada 10,300.5, Indeks FBMT 100 merosot 34.71 mata kepada 10,149.57, FBM 70 berkurangan 12.45 mata kepada 12,942.18, manakala Indeks FBM Emas Shariah turun 45.97 mata kepada 11,844.45.

FBM ACE, bagaimanapun, naik 4.97 mata kepada 5,534.59.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 0.01 mata kepada 127.77, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 15.41 mata kepada 12,364.14 dan Indeks Perladangan merosot 107.95 mata kepada 6,701.8.

-BERNAMA

Berita Harian X