Khamis, 30 Julai 2020 | 8:26pm
Seorang pelabur runcit sedang memerhati paparan pergerakan harga saham di dewan dagangan salah sebuah bank pelaburan di Kuala Lumpur. - Foto: AFP
Seorang pelabur runcit sedang memerhati paparan pergerakan harga saham di dewan dagangan salah sebuah bank pelaburan di Kuala Lumpur. - Foto: AFP

Kemelut politik: Pasaran saham ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Kemelut politik terkini, yang menyaksikan UMNO menarik diri daripada Perikatan Nasional, dan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri, menyebabkan Bursa Malaysia ditutup rendah menjelang perayaan Aidiladha esok.

Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 7.67 mata, atau 0.47 peratus, kepada 1,603.75 daripada 1,611.42 semasa ditutup pada Rabu.

Indeks utama dibuka tinggi 2.60 mata kepada 1,614.02 dan berada antara 1,584.95 dan 1,614.35 sepanjang hari.

Suasana pasaran kekal negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 688 berbanding 390, manakala 416 kaunter tidak berubah, 503 tidak diniagakan dan 64 yang lain digantung.

Jumlah dagangan naik kepada 11.91 bilion unit bernilai RM6.15 bilion daripada 10.53 bilion unit bernilai RM6.95 bilion semalam.

Ketua Penyelidikan Malacca Securities Sdn Bhd, Loui Low, berkata indeks utama merosot selepas rehat tengah hari, dengan perkembangan politik yang terkini menjadi antara faktor utama yang menyebabkan saham pandu rendah.

Selain itu, katanya kaunter kewangan, yang menyumbang enam daripada 30 kaunter FBM KLCI, juga antara yang mencatat prestasi rendah menyebabkan indeks komposit rendah hari ini.

"Bagaimanapun, saya tidak fikir ia berikutan berita mengenai moratorium, kerana jika ia memberi impak kepada saham perbankan, ia akan berlaku semalam, tetapi tekanan jualan hanya berlaku pada hari ini.

"Oleh itu, saya fikir ia berikutan aktiviti pengambilan untung, atau perubahan dalam dana," katanya kepada Bernama, sambil menambah aktiviti pengambilan untung biasanya berlaku menjelang sebarang cuti hujung minggu yang panjang.

Daripada saham wajaran tinggi, Public Bank, yang juga kaunter paling rugi secara menyeluruh, merosot 54 sen kepada RM17.00, Maybank berkurangan lapan sen kepada RM7.67, Petronas Chemicals susut 10 sen kepada RM6.18, Top Glove turun 26 sen kepada RM25.88, dan IHH merosot lapan sen kepada RM5.40.

Saham mewah perbankan lain yang rendah ialah CIMB, susut satu sen kepada RM3.59 dan Hong Leong Financial, merosot 20 sen kepada RM13.44.

Dalam kalangan saham aktif, Lambo menambah satu sen kepada lima sen, XOX naik setengah sen kepada 26 sen, Pegasus meningkat satu sen kepada tiga sen dan warannya menokok setengah sen kepada 1.5 sen, manakala Priceworth tidak berubah pada tiga sen.

Indeks FBM Emas susut 55.37 mata kepada 11,413.93, Indeks FBMT 100 turun 53.91 mata kepada 11,254.07 dan Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 25.81 mata kepada 13,439.53.

FBM 70 merosot 69.76 mata kepada 14,495.58, bagaimanapun FBM ACE naik 11.01 mata kepada 8,534.88.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 171.0 mata kepada 13,165.51, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 1.29 mata kepada 141.13, manakala Indeks Perladangan meningkat 7.10 mata kepada 7,147.51.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 6.01 bilion saham bernilai RM4.03 bilion daripada 4.27 bilion saham bernilai RM4.35 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran susut kepada 849.17 juta unit bernilai RM278.74 juta daripada 1.08 bilion unit bernilai RM455.26 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE turut susut kepada 5.05 bilion saham bernilai RM1.84 bilion daripada 5.17 bilion saham bernilai RM2.13 bilion pada hari sebelumnya.

Barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 863.00 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (1.68 bilion), pembinaan (196.41 juta), teknologi (612.53 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (72.84 juta), hartanah (1.43 bilion), perladangan (69.19 juta), REIT (12.37 juta), dana tertutup (76,500), tenaga (541.45 juta), penjagaan kesihatan (112.76 juta), telekomunikasi dan media (69.27 juta), pengangkutan dan logistik (309.76 juta), dan utiliti (33.27 juta).

Bursa Malaysia Bhd dan anak syarikatnya akan ditutup esok sempena cuti Aidiladha. Dagangan akan disambung semula pada Isnin.

-- Bernama

Berita Harian X